X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Maritim tahan kapal tangki bawa muatan minyak tanpa dokumen

Kapal tangki yang membawa muatan minyak diesel tanpa dokumen kebenaran ditahan Maritim. - Foto ihsan Maritim Malaysia Zon Kemaman.
A
A

KEMAMAN - Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kemaman menahan sebuah kapal tangki yang dikesan membawa muatan diesel tanpa sebarang dokumen pelepasan di pelabuhan Perairan Kemaman di sini pada Sabtu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kapal berkenaan ditahan pada jam 10.45 malam selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di sekitar 8.3 batu nautika dari Kuala Kemaman di sini, semasa rondaan rutin di sekitar perairan Terengganu.

"Hasil pemeriksaan mendapati kapten bersama tiga kru kapal gagal mengemukakan dokumen pelepasan pelabuhan (port clearance) yang sah.

"Kapal yang berdaftar di Port Klang itu ditahan dan dibawa ke tempat berlabuh, manakala kapten bersama tiga kru yang berusia antara 29 hingga 68 tahun dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman, di sini untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Rashidilhadi berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka yang terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga Indonesia memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, Maritim Malaysia memandang serius perkara ini dan sentiasa meningkatkan pemantauan ke atas kapal-kapal yang berada di perairan negara ini bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi undang-undang negara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!