X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Seorang maut, dua parah nahas di Lekas

Rakaman video selepas kejadian yang dimuat naik di media sosial. - Foto Media sosial
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Seorang penunggang motosikal maut, manakala dua lagi parah dalam kemalangan di Kilometer 29.8 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) menghala ke Nilai selepas Plaza Tol Setul pada Ahad.

Ketua Polis daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Abd Rahman berkata, kejadian pada jam 9.30 malam itu membabitkan tiga buah motosikal.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang seorang lelaki berusia 27 tahun dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Kuala Lumpur telah hilang kawalan sebelum terbabas melanggar penghadang besi sebelah kanan lebuhraya.

"Dalam pada masa sama, datang dua buah motosikal yang ditunggang dua lelaki masing-masing berusia 26 dan 27 tahun dari arah yang sama.

"Dua lelaki berkenaan yang cuba mengelak mangsa di atas jalan juga terbabas lalu terjatuh di atas lebuh raya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lelaki yang mengalami parah pada bahagian muka serta tangan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk menerima rawatan.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987," ujarnya.

Katanya, saksi kejadian diminta tampil ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor B Sharveen Raj di talian 011-2617 6424 bagi membantu siasatan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!