Petanda positif liga tempatan pilihan tontonan

Perlawanan Liga Malaysia membabitkan JDT antara aksi yang meraih tontonan tertinggi di platform YouTube. - Foto Johor Southern Tigers. (Gambar kecil, Sadek)
Perlawanan Liga Malaysia membabitkan JDT antara aksi yang meraih tontonan tertinggi di platform YouTube. - Foto Johor Southern Tigers. (Gambar kecil, Sadek)
A
A
A

KEJAYAAN saingan Liga Super menarik tontonan lebih 77 juta pada saingan musim ini disifatkan satu pencapaian yang boleh dibanggakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada ketika komuniti bola sepak negara dalam proses pemulihan kesan daripada Covid-19.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Sadek Mustapa berkata, angka itu memberikan petanda positif bahawa komuniti bola sepak masih memilih saingan liga utama negara tersebut sebagai tontonan.

Biarpun dari aspek komersial dan penyiaran sudah memberikan impak positif keseluruhannya, namun menurut Mohd Sadek, masih terdapat beberapa ruang penambahbaikan bagi menarik lebih ramai komuniti Liga-M untuk tidak hanya menonton tetapi juga hadir ke stadium bagi memeriahkan kembali suasana bola sepak tempatan.

“Secara keseluruhannya ia positif buat perkembangan pendigitalan industri bola sepak negara yang mula diterima komuniti bola sepak berikutan larangan sementara ke stadium berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Biarpun begitu, MFL perlu lebih proaktif menarik lebih ramai penonton baharu mengikuti perlawanan secara dalam talian dengan memastikan persembahan dan kualiti setiap pasukan meningkat secara konsisten.

“Jika dilihat kepada statistik ia tidak memperlihatkan impak yang sama rata kepada kelab lain kecuali Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC dan Penang FC yang mempamerkan aksi konsisten dalam saingan liga,” ujarnya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Saingan Liga Super yang membabitkan 132 perlawanan menarik tontonan 77,965,339 jumlah tontonan melalui platform YouTube menerusi data sehingga 20 September lalu.

Secara realitinya jelas Mohd Sadek lagi, perlu wujud peningkatan daya saing setiap kelab yang secara tidak langsung menarik lebih penajaan tidak hanya di saingan Liga Super, Liga Premier, tetapi juga Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran.

Artikel Berkaitan:

“Untuk memastikan penonton fizikal dan maya sentiasa konsisten mengikuti perlawanan, pasukan perlu konsisten menghasilkan keputusan positif.

“Paling penting MFL juga perlu memastikan kebolehcapaian internet daripada penganjuran mudah diakses penonton tidak hanya di rumah tetapi juga dalam stadium,” katanya.