Tidak gopoh vaksinasi kanak-kanak bawah 12 tahun: Pakar

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan menunggu hasil kajian dan data secukupnya berkaitan keberkesanan dan keselamatan vaksin Covid-19 terhadap kanak-kanak di bawah 12 tahun, sebelum memutuskan melaksanakan vaksinasi terhadap golongan itu adalah tindakan bijak, menurut pakar.

Pengasas Persatuan Malaysian Doctors Club (MDC) Dr Muhammad Hakim Nordin berkata tindakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang tidak gopoh membuat keputusan berkenaan perkara itu juga, adalah praktikal.

"Tindakan (menunggu data) yang bijak... mereka (kanak-kanak) adalah golongan berisiko rendah... jadi kenapa kita perlu berikan kepada kanak-kanak kepada sesuatu (vaksinasi) yang kita masih tidak tahu keselamatan dan keberkesanan sepenuhnya lagi.

"... setahu saya, WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia) belum lagi galakkan vaksinasi terhadap kanak-kanak bawah 12 tahun,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, walaupun ada syarikat vaksin telah mengesahkan keselamatan penggunaan produknya, namun ia bergantung kepada WHO untuk membuktikan bahawa vaksin-vaksin tersebut selamat digunakan kepada kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Artikel Berkaitan:


Khairy sebelum ini memaklumkan Kementeriannya telah mengadakan rundingan dengan sebuah syarikat pengeluar vaksin Covid-19, yang sedang membuat persiapan untuk menghantar data berkaitan (keselamatan dan keberkesanan vaksin kepada kanak-kanak bawah 12 tahun) kepada semua badan kawal selia seluruh dunia termasuk Malaysia.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Klinikal dan Pakar Perunding Imunologi Kanak-Kanak Hospital Canselor Tuanku Muhriz Dr Adli Ali berkata beliau percaya kerajaan sedang menilai beberapa jenis vaksin untuk dipertimbangkan kepada golongan tersebut. - Bernama