X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 26 Januari 2022

Apa nasib MoU babit kerajaan, PH?

A
A

NASIB sama ada perjanjian dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) dilanggari berkemungkinan akan diketahui hari ini (Isnin).

Ini kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu sidang akhbar pada jam 12 tengah hari mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini sebaik sahaja selesai mesyuarat khas diadakan.

Mesyuarat khas mengenai PRN Melaka itu akan bermula pada jam 9 pagi.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pada Ahad menyatakan kerajaan secara tidak langsung akan melanggar perjanjian dalam MoU Transformasi dan Kestabilan Politik sekiranya pelaksanaan PRN Melaka diadakan.

Menurut Hassan, ini kerana antara perkara utama yang dimeterai dalam MoU pada 13 September lalu adalah tidak mengadakan pilihan raya sehingga 31 Julai tahun depan.

Katanya, syarat itu juga terpakai di peringkat negeri dan sekiranya mengadakan PRN, ia melanggar perjanjian yang telah dipersetujui.

Jadi, apakah nasib MoU ini nanti? Adakah MoU ini akan benar-benar terbatal sekiranya PRN Melaka dilaksanakan?

PH menerusi Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Oktober lalu menyatakan gabungan itu belum berpuas hati dengan perkembangan kemajuan yang ditandatangani bersama kerajaan.

Anwar mendakwa, kemajuan tersebut sangat lemah sehingga reformasi Parlimen belum menunjukkan ada kejayaan.

“Janji dibuat sudah lebih sebulan dan tidak ada satu komitmen untuk melaksanakannya sebaliknya kestabilan politik yang diuar-uarkan.

“Beberapa langkah lain juga bertentangan dengan semangat demokrasi dan ketelusan serta semangat untuk bekerjasama,” katanya di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, apa yang dilihat di sini berkemungkinan PRN Melaka akan ditangguhkan disebabkan pelbagai faktor seterusnya MoU itu tidak akan terbatal.

Antara faktor-faktornya adalah risiko kebimbangan terhadap jangkitan pandemik Covid-19 di negeri atau seluruh negara.

Di samping itu, faktor kerajaan memerlukan sokongan PH untuk menyokong Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada 29 Oktober ini juga merupakan sebab utama berkemungkinan PRN Melaka ditangguhkan.

Selain itu, sekiranya PRN Melaka dijalankan, ia akan menyebabkan berlangsungnya satu lagi PRN iaitu di negeri Sarawak.

Faktor yang lain juga adalah dari segi ketersediaan adakah negara ini mampu untuk melaksanakan PRN mengambil kira pengajaran yang berlaku semasa PRN Sabah.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!