Elaun latihan industri bukan manjakan siswa

No Image Caption
A
A
A

LATIHAN industri adalah syarat majoriti pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) sebelum menamatkan pengajian di peringkat diploma atau ijazah.

Selain mendapatkan pengalaman dan syarat wajib lulus pengajian, latihan ini akan memperkasakan persediaan pelajar menghadapi cabaran sebenar dunia pekerjaan.

Pendedahan Ketua Pemuda Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin mengenai terdapatnya mahasiswa yang menjalani latihan industri diperlakukan seperti hamba adalah sesuatu yang mengejutkan.

Menurut Khairil Nizam, lebih teruk lagi apabila terdapat mahasiswa yang masih tidak mendapat elaun sepanjang menjalani latihan industri walaupun kerajaan menyokong pemberian elaun tersebut.

Berdasarkan kaji selidik secara dalam talian, majoriti pelajar yang mengikuti latihan industri di sektor awam tidak menerima elaun berbanding syarikat swasta sebanyak RM500 sebulan atau lebih tinggi daripada itu.

Walaupun tidak banyak, namun ia dapat meringankan beban pelajar sekurang-kurangnya mereka mendapat duit poket untuk makan dan berbelanja.

Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, kos tambang pergi dan balik juga amat membebankan pelajar. Itu belum dikira kos makan, sekurang-kurangnya untuk sarapan dan makan tengah hari.

Maka tidak hairanlah ramai ‘sakit kepala’ memikirkan segala kos yang ditanggung, malah ada yang terpaksa ikat perut terutama pelajar yang tergolong dalam kalangan keluarga B40 dan M40.

Artikel Berkaitan:

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli berkata, ketiadaan dan kekurangan elaun itu merupakan suatu isu yang sentiasa berulang dan dibangkitkan hampir setiap tahun.

Menurut beliau, meskipun kerajaan telah menetapkan polisi meningkatkan elaun latihan industri di sektor kerajaan daripada RM300 kepada RM900, namun langkah itu masih belum diikuti sepenuhnya oleh kebanyakan syarikat swasta.

Paling menyedihkan apabila terdapat pelajar yang terpaksa ikat perut di universiti sehinggakan food bank diwujudkan bagi membantu golongan itu.

Bagaimana nasib mereka yang bergantung kepada bantuan itu yang terpaksa menjalani latihan praktikal tanpa elaun? Sudah tentu perit untuk menghabiskan tempoh bekerja walaupun hanya tiga hingga enam bulan sahaja. Bagaimana pula jika tempoh latihan praktikal lebih lama?

Cabaran pelajar praktikal

Walaupun kebanyakan pelajar mengakui tugasan yang diberikan oleh majikan menepati kursus dipelajari, ada kes pelajar praktikal yang kena buli dengan pekerja tetap seperti membuat air dan membeli makanan tanpa memberikan duit minyak.

Paling mengejutkan, ada pelajar praktikal di sektor swasta menghadapi gangguan seksual daripada rakan sekerja.

Seorang pelajar praktikal, Nur Izzati Abd Rahman bersetuju bahawa kebanyakan syarikat yang menawarkan peluang membuat latihan industri tidak menyediakan elaun.

Beberapa pelajar praktikal yang lain juga dibebankan dengan tugasan yang di luar skop pembelajaran praktikal.

Tambah Nur Izzati, elaun yang diberikan oleh pihak syarikat juga tidak memadai dan perlu bekerja lebih masa untuk menyiapkan semua kerja sehingga terpaksa balik lewat setiap malam.

Perkara begini tidak sepatutnya berlaku di sesebuah syarikat dan majikan perlu meningkatkan pemantauan di tempat kerja supaya perkara sedemikian tidak berulang.

Sebenarnya, pemberian elaun setimpal dapat meningkatkan semangat pelajar untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada sesebuah syarikat.

Bagaimanapun, ada sesetengah pihak menyatakan pelajar praktikal tidak wajar mengharapkan elaun kerana apa yang penting adalah pengalaman kerja itu sendiri.

Memang ada benarnya, tetapi mengambil kira keadaan ekonomi semasa, majikan wajar mempertimbangkan keperluan itu.

Bukan hendak manjakan pelajar dengan elaun, tetapi ia satu keperluan bagi meringankan beban pelajar terutama mereka yang datang dari keluarga berpendapatan rendah.

Diharapkan isu elaun latihan industri ini mendapat perhatian pihak kerajaan sama seperti kerajaan prihatin isu siswa ikat perut.

* Naziha Khan ialah wartawan kandungan media sosial Sinar Harian