Sila log masuk terlebih dahulu.

Maloney tuntut anak buah lebih garang

Antara aksi skuad B-22 tahun negara menentang Penang FC di Arena MBSJ, Subang Jaya.
Antara aksi skuad B-22 tahun negara menentang Penang FC di Arena MBSJ, Subang Jaya.
A
A
A

SKUAD Bawah 22 tahun (B-22) negara berada dalam rentak terbaik untuk menghadapi kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia minggu depan.

Pengendali skuad B-22 negara, Brad Maloney berkata, banyak perkara positif telah mula dipamerkan skuad kendaliannya termasuk aksi cemerlang ketika menundukkan pasukan Liga Super, Penang FC 2-1 dalam aksi persahabatan di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Subang Jaya, pada Jumaat.

“Banyak perkara positif dalam beberapa perlawanan persahabatan termasuk ketika menewaskan Penang FC. Saya juga berpeluang untuk mencuba beberapa pemain baharu dan persembahan pasukan memuaskan.

“Kedua-dua perlawanan persahabatan (sebelum ini menentang Negeri Sembilan FC) adalah sangat mencabar buat kami kerana perlu bermain dengan pasukan yang lebih senior.

“Namun, ia satu pendedahan yang bagus dengan semua pemain menunjukkan satu permainan yang baik dan sekali gus memberikan keputusan yang bagus,” katanya.

Skuad negara sebelum ini tewas 1-3 kepada juara Liga Premier, Negeri Sembilan FC pada aksi persahabatan pertama dan akan mengharungi perlawanan persahabatan terakhir menentang Kedah pada Isnin.Dalam masa sama, Maloney mengharapkan lebih banyak peningkatan dapat dipamerkan para pemainnya sekali gus memberikan motivasi tambahan dalam aksi terakhir persahabatan.

“Kami masih lagi cuba menambah baik pasukan dan menuntut pemain memberikan yang lebih baik. Perkara baik ketika ini adalah pemain berupaya untuk menyinar dalam dua perlawanan persahabatan ini.

“Seperti saya katakan, perlawanan terakhir menentang Kedah saya harap pemain dapat memberikan yang lebih baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam aksi kelayakan Piala Asia B-23 nanti, skuad muda Harimau Malaya diundi Kumpulan J bersama Laos, Mongolia dan Thailand dengan juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir yang berlangsung di Uzbekistan, Jun depan.