Perkukuh kekuatan mental, psikologi

Lee Zii ketika mengetuai cabaran Malaysia pada saingan Piala Thomas di Aarhus, Denmark. -Foto AFP Gambar kecil: James Selvaraj
Lee Zii ketika mengetuai cabaran Malaysia pada saingan Piala Thomas di Aarhus, Denmark. -Foto AFP Gambar kecil: James Selvaraj
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) perlu memikirkan cara untuk mengukuhkan kekuatan mental dan psikologi sebelum seseorang pemain menyertai kejohanan besar pada masa depan.

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj berkata, ia aspek penting yang perlu ditambah baik terutama kepada pemain muda negara menentang lawan yang berada di ranking yang lebih tinggi.

"Secara keseluruhan, saya melihat persembahan pemain terutama pemain muda agak baik. Namun, bagi saya BAM perlu ada seorang pakar psikologi dan pakar terapi mental untuk menyediakan pemain sebelum menyertai sebarang kejohanan. Ia amat berguna untuk memastikan pemain mempunyai motivasi dan mental yang baik sebelum bermain.

"Kekuatan mental dan psikologi ini memainkan peranan penting kerana lawan yang berada di ranking lebih tinggi sudah tentu mempunyai kelebihan.

"Saya yakin, jika perkara ini ditambah baik selain memperbaiki beberapa kelemahan dalam permainan, pemain negara akan mampu menyaingi pemain di ranking terbaik dunia dalam beberapa tahun akan datang," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Skuad badminton negara menampilkan persembahan yang boleh dipuji dengan rata-rata pemain baharu yang dihantar pada edisi Piala Thomas dan Piala Uber yang berlangsung di Aarhus, Denmark.

Pasukan badminton lelaki negara menamatkan saingan Piala Thomas di peringkat suku akhir selepas tunduk kepada Indonesia 0-3 manakala skuad wanita negara terkandas di peringkat kumpulan Piala Uber.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan satu laporan khusus dapat dibuat oleh jurulatih negara untuk menilai titik kelemahan pemain negara sekali gus menambah baik prestasi mereka untuk kejohanan akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin program latihan boleh ditambah baik dengan mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan serta meningkatkan kekuatan skil pemain.

"Seperti contoh Lee Zii Jia, kalau dia punya over head smash bagus, dia kena improve menjadikan over head smashnya lebih bagus dan dalam masa sama melatih pukulan lain yang menjadi kelemahannya seperti over head stroke dan sebagainya.

"Kalau dulu, dapat smash 20 kali lepas improve pastikan dapat smash 40 kali. Dengan cara ini, pemain boleh menjadi lebih bagus.

"Selain itu, saya tengok pemain muda seperti Ng Tze Yong sangat bagus. Sekarang ini dia perlu meningkatkan kekuatan fizikal dan gilap kemampuannya dan saya yakin dia akan menjadi pemain yang berkualiti," katanya.