Bincang cadangan rapat saf solat jemaah: Idris

SOP khususnya mengenai aktiviti masjid dan surau termasuk cadangan merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah akan dibincangkan. (Gambar kecil: Idris)
SOP khususnya mengenai aktiviti masjid dan surau termasuk cadangan merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah akan dibincangkan. (Gambar kecil: Idris)
A
A
A

SHAH ALAM – Isu prosedur operasi standard (SOP) khususnya mengenai aktiviti masjid dan surau termasuk cadangan merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah akan dibincangkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, beliau mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya mengatur Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang akan diadakan pada Rabu ini.

“Muzakarah pada kali ini untuk mendengar taklimat mengenai penilaian risiko semasa Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan membincangkan beberapa isu SOP khususnya mengenai aktiviti masjid dan surau.

“Ini termasuk cadangan SOP untuk merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah,” katanya dalam kenyataan disiarkan di Facebooknya pada Ahad.

Kerajaan sebelum ini dilapor bersetuju membenarkan peralihan fasa bagi Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah daripada Fasa Dua kepada Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu, Melaka dan Lembah Klang iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor beralih daripada Fasa Tiga kepada Fasa Empat.

Tambah Idris, semua ahli muzakarah terdiri daripada mufti-mufti negeri dan ahli-ahli yang dilantik dalam kalangan pakar dijemput hadir.

“Pihak KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga dijemput dalam muzakarah ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau pada masa sama berharap suatu keputusan demi maslahah umum akan dapat dicapai.

“Diharap aktiviti masjid dan surau khususnya solat berjemaah seperti sediakala akan dibenarkan dengan SOP tertentu,” ujarnya.