RM396.5 juta: Risda jayakan misi Pekebun Kecil Makmur

Mahdzir (empat dari kanan) bersama wakil penerima BMT 2021, zakat korporat dan pekebun-pekebun kecil selepas Majlis Pekebun Kecil Makmur Risda Negeri Kedah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka pada Sabtu.
Mahdzir (empat dari kanan) bersama wakil penerima BMT 2021, zakat korporat dan pekebun-pekebun kecil selepas Majlis Pekebun Kecil Makmur Risda Negeri Kedah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka pada Sabtu.
A
A
A

KUALA NERANG - Kementerian Pembangunan Luar bandar (KPLB) menyalurkan peruntukan RM396.5 juta kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) setakat Oktober 2021 bagi melaksanakan pakej bantuan dalam merealisasikan gagasan 'Luar Bandar Sejahtera' dalam kalangan komuniti pekebun kecil.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara bantuan yang disalurkan merangkumi Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah, Peningkatan Produktiviti, Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) serta Program Pembangunan Semula Hasil Baharu.

Menurutnya, peruntukan itu untuk membangkitkan semangat keprihatinan Keluarga Malaysia dan memberikan manfaat kepada 395,123 pekebun kecil Risda di seluruh negara.

“Melalui peruntukan ini, Risda telah pun meningkatkan pakej bantuan tanam semula kepada RM13,710 di Semenanjung Malaysia, RM14,955 di Sabah dan RM14,805 di Sarawak.

“Bantuan-bantuan ini disalurkan dalam lima kali ansuran. Pada ansuran pertama mereka menerima bantuan berjumlah RM7,710 termasuk bantuan benih, baja serta racun," katanya semasa merasmikan Majlis Pekebun Kecil Makmur Risda Negeri Kedah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka di sini pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim; Pengerusi Risda, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif dan Ketua Pengarah Risda, Abdullah Zainal.

Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, Risda telah membangunkan tanam semula getah seluas 10,495 hektar untuk manfaat seramai 12,507 pekebun kecil yang menerima bantuan di seluruh negara bagi tahun 2021.

Walaupun industri getah berhadapan dengan isu, masalah dan persepsi terutamanya melibatkan harga pasaran tetapi ia masih menjadi pilihan kebanyakan pengusaha atau pemilik tanah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penanaman semula getah melibatkan tanam semula individu seluas 8,285 hektar dan tanam semula berkelompok seluas 2,210 hektar.

“Kejayaan ini menunjukkan pekebun-pekebun kecil cakna dan faham dengan kewujudan Risda yang berfungsi untuk menyalurkan bantuan melalui tanaman getah serta mampu memantau perkembangan pekebun kecil sehingga ke akar umbi.

“Ini juga melambangkan Risda mempunyai peranan khusus dalam meneraju pembangunan masyarakat pekebun kecil dalam industri getah yang kini mencecah 1.1 juta hektar,” ujarnya.

Risda turut menyediakan kemudahan mengangkut benih dan baja ke kawasan pedalaman setakat ini seluas 237 hektar telah pun dilaksanakan penghantarannya.

Pekebun kecil turut disediakan dengan prasarana pertanian untuk memudahkan aktiviti penghasilan getah.

Di seluruh negara, Risda telah pun menyiapkan 527 kilometer (km) jalan pertanian, 705 unit pembentung dan 75 km sistem perparitan untuk manfaat pekebun kecil.

Risda juga membelanjakan sebanyak RM3.83 juta untuk infrastruktur dalam ladang dan menyampaikan bantuan Skim Getah Matang seluas 39,753 hektar untuk kemudahan pekebun kecil.