X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

RMK12: Projek berimpak tinggi bakal dilaksana di Terengganu

Mustapa (kiri) menerangkan mengenai buku RMK-12 kepada Ahmad Samsuri selepas sesi libat urus pasca RMK-12 bersama kerajaan negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan komited menyediakan peruntukan bagi melaksanakan projek berimpak tinggi sekurang-kurangnya 50 peratus daripada peruntukan pembangunan asas di Terengganu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia bagi meningkatkan kesinambungan dan akses yang lebih baik kepada infrastruktur asas, ameniti dan perkhidmatan.

"Beberapa projek sambungan akan diteruskan antaranya Hospital Kemaman dan Hospital Dungun serta projek berkaitan tebatan banjir.

"Selain itu, beberapa perkara yang dikemukakan oleh kerajaan Terengganu adalah berkaitan pembangunan pulau-pulau termasuk bekalan elektrik, pertanian dan kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup sesi libat urus pasca-Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bersama kerajaan negeri Terengganu di sini pada Ahad.

Sebelum itu, beliau mengadakan sesi libat urus pasca-RMK12 secara hibrid bersama pegawai kanan kerajaan negeri, di Wisma Darul Iman di sini.

Selain itu, Mustapa memberitahu, kerajaan juga akan meneruskan projek pembangunan taman industri polimer di Kerteh, Dungun; pembangunan lembangan sungai bersepadu di Kemaman, pemuliharaan muara sungai di Besut, Dungun dan Setiu.

Projek tebatan banjir Kuala Terengganu Utara, naik taraf jalan persekutuan Chukai ke Kemaman, projek jalan raya Simpang Pulai-Gua Musang-Kuala Berang dan pembangunan kawasan tanaman getah pekebun kecil juga akan diteruskan.

Kata beliau, peruntukan awal kerajaan pusat untuk pembangunan negeri Terengganu pada tahun ini adalah sebanyak RM1.36 bilion namun tidak dapat dibelanjakan sepenuhnya kerana berlaku pandemik Covid-19.

Ditanya mengenai jumlah peruntukan yang bakal diterima oleh Terengganu pada tahun depan pula, Mustapa menjelaskan, ia akan diperincikan dalam pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober ini.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri berterima kasih dengan komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu-isu yang berbangkit dan melambatkan sebarang projek seperti isu tanah dan isu kelulusan PBT (pihak berkuasa tempatan).

"Kita berharap, ia dapat dipercepatkan supaya kita dapat mengurangkan kerenah-kerenah birokrasi ini. Jadi dengan cara itu mungkin objektif yang nak dicapai, kemajuan mampan secara bersama ini dapat kita capai," katanya. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!