KPWKM sasar 100,000 ahli Skuad Waja bantu atasi isu keganasan

Rina melancarkan Skuad Waja (Wanita Anti Jenayah) hari ini. -Foto Bernama
Rina melancarkan Skuad Waja (Wanita Anti Jenayah) hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan 100,000 sukarelawan menyertai Skuad Waja atau wanita antijenayah menjelang akhir tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, seramai 20,406 sukarelawan Skuad Waja telah dilatih di seluruh negara setakat ini di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Wanita dengan peranan sebagai ejen serta mata dan telinga kerajaan bagi membantu golongan yang menjadi mangsa keganasan.

"Kes keganasan rumah tangga semakin meningkat dan membimbangkan. Menurut statistik polis, sejumlah 5,821 kes dilaporkan dan kertas siasatan dibuka dari Januari hingga September 2021 berbanding 3,677 kes dalam tempoh sama pada 2020.

"Peranan Skuad Waja dalam komuniti terutama dalam tempoh pandemik ini sangat bermakna. Ia menjadi tunjang kekuatan baharu KPWKM dalam menjayakan agenda pemerkasaan Keluarga Malaysia menerusi fokus keenam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skuad Waja peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Skuad Waja ditubuh pada 8 Mac lepas sempena sambutan Hari Wanita bagi memperkasa komuniti melalui psikososial dan aktiviti bimbingan dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu jenayah.

Rina berkata, hasil pelaksanaan Skuad Waja hingga 12 Okt lepas, sebanyak 775 kes berjaya dibimbing dan dibantu.

Beliau berkata setiap ahli yang berdaftar akan diberi panduan menerusi modul Skuad Waja yang dibangunkan oleh JPW dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia untuk memberi bantuan dan bimbingan awal kepada mangsa.

"Modul tersebut memfokus kepada penyampaian ilmu serta kemahiran asas psikologi dalam usaha meningkatkan keseimbangan kendiri, keluarga dan komuniti setempat serta masyarakat keseluruhannya di samping pengetahuan literasi undang-undang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rina berkata, KPWKM juga memulakan perkhidmatan telekaunseling dan e-kaunseling melalui Tol Free Helpline FamilyCare @ LPPKN (Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara) di talian 1-800-82-0300 sejak bulan lepas bagi menangani isu berkaitan keluarga, pasangan dan perkahwinan.

Katanya beberapa kes berjaya disantuni di bawah inisiatif LPPKN melalui talian itu sama ada secara dalam talian atau bersemuka.

Beliau berkata, inisiatif itu akan dilancar secara rasmi dalam masa terdekat. - Bernama