FAMA bakal naik taraf Pasar Tamu Beluran

Ronald (empat dari kiri) ketika menyempurnakan majlis pecah tanah projek naik taraf Pasar Tamu Beluran pada Ahad.
Ronald (empat dari kiri) ketika menyempurnakan majlis pecah tanah projek naik taraf Pasar Tamu Beluran pada Ahad.
A
A
A

BELURAN - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bakal menaik taraf Pasar Tamu keempat Sabah di Beluran.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penaiktarafan Pasar Tamu itu akan memberi manfaat kepada 170 peniaga dan dijangka siap pada pertengahan bulan Mei tahun depan dengan kos RM746,000 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

"Pasar Tamu ini akan dapat memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung di daerah Beluran.

"Setelah siap dinaik taraf, pentadbirannya akan diserahkan kepada Majlis Daerah Beluran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Prihatin Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di sini pada Ahad.

Ronald sebelum itu menyempurnakan upacara pecah tanah di tapak pasar berkenaan dekat Pekan Beluran di sini.

Ronald berkata, selain meningkatkan penglibatan secara langsung petani, pengeluar dan pengusaha dalam pemasaran hasil pertanian dan produk asas tani, penaiktarafan Pasar Tamu itu juga akan meningkatkan pendapatan mereka, sekali gus menjadi saluran pasaran produk agro makanan bagi membantu pengusaha kecil memasarkan hasil keluaran sendiri.

“Sehingga kini, FAMA telah menaik taraf dua buah Pasar Tamu di Sabah iaitu Pasar Tamu Sook, Keningau dan Pasar Tamu Kudat, manakala Pasar Tamu Kunak masih lagi di dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada Mac 2022,” katanya.

Ketika ditemui Bernama, Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, selain empat Pasar Tamu di Sabah, sehingga hari ini, FAMA telah menaik taraf lima Pasar Tamu di Sarawak.

Artikel Berkaitan:

"Di Sabah sahaja dengan empat lokasi ini bernilai RM3.2 juta, manakala di Sarawak, jumlah nilai untuk lima lokasi ialah RM4.5 juta," katanya.

Zainal Abidin berkata dengan usaha menaik taraf Pasar Tamu FAMA mendapati nilai jualan peniaga terlibat meningkat 30 peratus.

"Ini kerana usaha naik taraf ini dapat FAMA memberikan persekitaran berniaga yang lebih baik dan dengan kemudahan selesa, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung," katanya. - Bernama