Penerbangan domestik ke Kelantan catat 20 perjalanan sehari

Penerbangan domestik ke Kelantan membabitkan pelancong dan perantau yang pulang ke kampung halaman meningkat sehingga 20 perjalanan sehari menjelang peralihan Fasa Tiga PPN esok.- Gambar hiasan
Penerbangan domestik ke Kelantan membabitkan pelancong dan perantau yang pulang ke kampung halaman meningkat sehingga 20 perjalanan sehari menjelang peralihan Fasa Tiga PPN esok.- Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Penerbangan domestik ke Kelantan membabitkan pelancong dan perantau yang pulang ke kampung halaman meningkat sehingga 20 perjalanan sehari menjelang peralihan fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) esok.

Jumlah penerbangan itu direkodkan semalam berbeza berbanding empat hingga lima penerbangan sehari sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, peningkatan itu susulan kebenaran rentas negeri oleh kerajaan pada Isnin minggu lalu diikuti pengumuman peralihan Kelantan fasa tiga PPN bermula esok.

Menurut beliau, pada fasa ini lebih banyak kelonggaran dan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, namun rakyat diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

“Walaupun masuk fasa tiga, kita perlu beringat kerana kita masih dalam pandemik, jaga kesihatan, kebersihan, makan minum dan SOP seperti memakai pelitup muka,” katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Kelantan dengan CIDB berkait usahasama untuk membangunkan Taman Perindustrian IBS di Kelantan.

MoU ditandantangani oleh Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid.

Turut menyaksikan MoU tersebut adalah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Artikel Berkaitan:

Dr Izani berkata, setakat ini, Kelantan mencapai lebih 90 peratus kadar suntikan vaksinasi Covid-19 dan kes positif harian menunjukkan trend penurunan ke tiga angka berbanding empat angka sebelum ini.

“Saya dimaklumkan penguatkuasaan terhadap SOP dalam fasa ketiga akan diteruskan oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.