Ibu bapa, pelajar lega vaksin remaja hampir selesai

Vaksinasi Covid-19 kepada pelajar sekolah di pulau bebas cukai ini hampir selesai apabila lebih 68 peratus daripada jumlah pelajar tersenarai telah melengkapkan dos kedua vaksin.
Vaksinasi Covid-19 kepada pelajar sekolah di pulau bebas cukai ini hampir selesai apabila lebih 68 peratus daripada jumlah pelajar tersenarai telah melengkapkan dos kedua vaksin.
A
A
A

LABUAN - Vaksinasi Covid-19 kepada pelajar sekolah di pulau bebas cukai ini hampir selesai apabila lebih 68 peratus daripada jumlah pelajar tersenarai telah melengkapkan dos kedua vaksin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, imunisasi Covid-19 bagi pelajar berusia 16 dan 17 tahun telah pun selesai minggu lepas namun baki lebih 30 peratus lagi yang berumur dalam lingkungan 12 hingga 15 tahun masih belum lengkap vaksinasi.

Menurutnya, 86.05 peratus daripada keseluruhan 10,094 pelajar (berumur 12 hingga17 tahun) telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin dan daripada jumlah itu, 68.25 peratus telah melengkapkan dos kedua setakat semalam (16 Oktober).

Sementara itu, dalam satu program libat urus oleh Kementerian Pendidikan bersama Jabatan Penerangan dan media hari ini, murid-murid berusia 12 tahun mula menerima dos kedua di PPV SK Sungai Lada.

Ibu bapa dan remaja yang ditemui di sini menzahirkan keterujaan dan penghargaan mereka kerana diberi keutamaan oleh Kerajaan Pusat untuk program vaksinasi tersebut.

Penjawat awam, Bohasney Borhanordin, 42, berkata, vaksinasi itu akan membantu dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat.

“Anak lelaki saya berumur 12 tahun teruja untuk kembali ke sekolah setelah tidak dibenarkan keluar pada bulan-bulan sebelum ini, dia telah menerima suntikan pertama vaksin minggu lepas,” katanya.

Jamilah Abdul Majid, 41, juga seorang penjawat awam, berkata Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) telah memainkan peranan proaktif dalam memastikan murid-murid menerima vaksinasi lengkap sebelum sekolah dibuka semula.

Artikel Berkaitan:

“Bagi keluarga yang masih teragak-agak untuk mendapatkan vaksin, mereka mestilah memikirkan tentang keselamatan pelajar lain, tetapi saya percaya apabila mereka melihat majoriti orang ramai mendapatkan vaksin, mereka akan terdorong untuk melakukan yang sama,” katanya.

Sementara itu anak lelaki Jamilah, Muhammad Abd Aziz, 12, meluahkan keseronokannya setelah selesai menerima imunisasi hari ini.

“Saya rasa sangat gembira kerana dapat melengkapkan vaksin hari ini dan tidak sabar untuk bertemu rakan sekolah dan guru-guru dan saya mahu kembali kepada mode belajar selepas berehat sekian lama,” kata pelajar SK Sungai Lada itu. - Bernama