10 tahun bayar untuk rumah terbengkalai

Hassan (kanan) melihat dokumen dan surat jual beli daripada pembeli semasa melawat projek perumahan terbengkalai di Taman Seri Molek Perdana pada Ahad.
Hassan (kanan) melihat dokumen dan surat jual beli daripada pembeli semasa melawat projek perumahan terbengkalai di Taman Seri Molek Perdana pada Ahad.
A
A
A

PASIR GUDANG - Impian hampir 1,000 pembeli untuk menduduki pangsapuri idaman di Taman Seri Molek Perdana, Plentong di sini masih belum kesampaian apabila rumah yang dibeli sejak tahun 2011 itu terbengkalai hingga kini.

Seorang pembeli, Hasliana Mesrum, 38, mendakwa projek perumahan melibatkan enam blok itu sepatutnya siap pada tahun 2013 tetapi sehingga kini tertangguh dan tiada tarikh rasmi penyerahan kunci.

Hasliana turut mendakwa projek itu sudah beberapa kali bertukar pemaju menyebabkan pembeli terbeban kerana perlu membayar rumah sewa dan pada masa sama meneruskan bayaran rumah terbengkalai itu.

"Kami tujuh beranak ketika ini menyewa di sebuah rumah yang daif dan bocor. Kebanyakan pembeli bukan golongan berada dan dikategorikan B40 dan ada yang terpaksa membuat pinjaman bank," katanya.

Ibu kepada lima anak yang bekerja di kedai cermin mata itu berkata kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang meninjau perkembangan projek perumahan terbengkalai tersebut pada Ahad.

Bagi Suzana Rahmat, 50, alasan diberikan pemaju disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berjanji akan menyiapkan projek itu pada Jun tahun depan.

"Bagaimanapun tempoh itu terlalu lama sedangkan sebelum ini mereka menjanjikan akan siap pada hujung tahun ini. Sudah banyak kali tertangguh. Masalah kelewatan ini sudah banyak kali diajukan kepada pemaju tetapi tiada tindakan," katanya.

Seorang lagi pembeli, Hassan Awang, 48, mendakwa wakil syarikat pemaju berdiam diri dan tidak bertemu pembeli serta berbincang perkara sebenar perkembangan terkini projek berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hassan berkata, beliau akan bertemu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagi menyelesaikan masalah tersebut kerana rumah berkenaan sudah 96 peratus siap.