X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Pengendali hotel, taman tema Johor jangka perniagaan bertambah baik

Pengurusan Hotel Renaissance telah melakukan pelbagai persediaan mengikut SOP antaranya melakukan kerja-kerja sanitasi di semua bilik penginapan mereka sebelum dan selepas penggunaan sejak semua hotel dibuka kepada orang ramai baru baru ini.
 - Foto Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Industri hotel di Johor menjangka perniagaan akan bertambah baik dalam bulan-bulan akan datang apabila pengendali hotel mula menerima banyak pertanyaan untuk membuat tempahan dengan penarikan balik larangan perjalanan rentas negeri baru-baru ini.

Beberapa pengendali hotel malahan telahpun menyediakan pakej istimewa untuk mengalu-alukan kedatangan tetamunya selepas kejatuhan mendadak perniagaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020.

Perniagaan mereka terjejas teruk akibat daripada penutupan sempadan Malaysia-Singapura pada tahun 2020 serta larangan perjalanan antara negeri dan daerah bermula Mei tahun ini yang menyebabkan beberapa hotel, daripada hotel bertaraf tiga hingga lima bintang terpaksa menutup terus operasi mereka.

Kebanyakan pengendali ini kini lebih optimis dengan penarikan balik larangan perjalanan antara negeri tetapi mereka masih mengambil pendekatan berhati-hati dan memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) yang relevan dipatuhi ketika menjalankan perniagaan dalam normal baharu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One Sdn Bhd, Roslina Arbak berkata, semua pusat peranginannya mematuhi standard kesihatan dan keselamatan di setiap hartanah.

Pengendali hotel itu juga memastikan hampir 100 peratus kakitangan dan penyedia perkhidmatannya telah menerima vaksin lengkap, menjalankan ujian bergilir daripada 25 peratus tenaga kerja dan pekerja kontraknya setiap minggu sebagai langkah berjaga-jaga tambahan.

“Dengan pembukaan Adventure Waterpark kami pada 14 Oktober kepada orang awam, kami telah menjalankan protokol pembukaan secara berperingkat bagi memastikan semua protokol kesihatan dan keselamatan dan penjarakan fizikal dilaksanakan, melatih kakitangan untuk menyesuaikan diri dengan suasana baharu untuk menguruskan taman itu dan memastikan operasi am taman itu berjalan lancar,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini.

Beliau berkata, syarikat itu yang merupakan pemaju induk dan pengendali Desaru Coast Destination Resort menyaksikan peningkatan minat dan tempahan berikutan tawaran menarik dan syarat-syarat tempahan yang fleksibel yang boleh menerima pembatalan dan tempoh sah yang dilanjutkan.

“Kami mendapat rangsangan daripada minat memberangsangkan terhadap pelancongan domestik. Kami kini berharap kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berusaha untuk membenarkan kedatangan pelancong antarabangsa daripada senarai negara ‘selamat’ yang diluluskan, tidak lama lagi.

“Ini sudah pastinya akan membantu memulihkan semula industri pelancongan Malaysia dan apa yang lebih penting, ekonomi negara,” katanya.

Orang ramai diwajibkan menunjukkan sijil yang telah lengkap divaksin dua dos dan perlu menggunakan cecair sanitasi yang disediakan sebelum dibenarkan masuk ke dalam sebuah hotel pada tinjauan baru-baru ini. - Foto Bernama
Orang ramai diwajibkan menunjukkan sijil yang telah lengkap divaksin dua dos dan perlu menggunakan cecair sanitasi yang disediakan sebelum dibenarkan masuk ke dalam sebuah hotel pada tinjauan baru-baru ini. - Foto Bernama

Roslina berkata, pelancongan secara umumnya dijangka mencatatkan lonjakan ekoran peningkatan permintaan dalam tempoh terdekat ini dan ia dijangka memasuki fasa stabil selepas sambutan perayaan Tahun Baru China pada tahun 2022.

Beliau turut memuji usaha program vaksinasi seluruh negara oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang membuka ruang kepada pelonggaran sekatan dan pembukaan perjalanan rentas negeri.

Pengurus Besar Renaissance Johor Bahru Hotel, Gagan Sigh berkata, segalanya menuju ke landasan yang tepat apabila hotel berkenaan menerima banyak pertanyaan melalui tempahan dalam talian dan panggilan telefon.

“Berikutan larangan perjalanan sebelum ini, keadaan disifatkan tidak begitu baik. Setakat ini kami berpandangan, prospek dilihat memberangsangkan. Kami hanya perlu memastikan semua individu mematuhi SOP, malah, kami turut berhati-hati sambil memperkukuh kedudukan melalui peluang ini,” katanya.

Gagan berkata, jumlah tempahan dan pertanyaan menyaksikan peningkatan, terutamanya daripada pengembara perniagaan dan pelancong dari negeri lain untuk melawat Johor, namun belum sampai ke tahap habis ditempah untuk beberapa minggu yang akan datang.

“Dengan sekatan perjalanan yang telah ditamatkan, kami berharap dapat memulihkan perniagaan kami kepada 60 peratus. Berbanding 60 peratus, penurunan perniagaan kami sepatutnya pada 40 peratus.

“Memandangkan pengembara antarabangsa akan datang semula, saya jangka kita akan kembali kepada tahap sebelum ini, sebagaimana kita ketika tempoh sebelum Covid-19. Oleh itu, saya merasakan kita masih berada dalam situasi yang mencabar pada masa ini,” katanya.

Gagan berkata, sebanyak 60 hingga 65 peratus daripada perniagaan hotel disumbangkan oleh pelancong tempatan, manakala selebihnya daripada pengembara antarabangsa.

“Kita menuju ke landasan yang tepat, namun masih jauh daripada tahap kegemilangan yang kita capai sebelum ini terutamanya yang disumbang oleh pengembara antarabangsa,” tambahnya.

Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Holiday Inn Express & Suites Johor Bahru, Keyin Tay berkata, dengan kelonggaran terkini berkaitan Covid-19, hotel itu melihat peluang yang cerah untuk merancakkan semula sektor pelancongan di Johor.

“Bukan itu sahaja, kita juga melihat usaha kerajaan negeri Johor (membenarkan perjalanan) antara Johor dengan Singapura, dan ini sesuatu yang kita harapkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.

Menurutnya, memandangkan hotel tersebut dijadual dibuka menjelang akhir tahun ini, ia melihat isyarat yang sangat positif dapat dibuka mengikut masa yang ditetapkan.

“Dengan kemajuan pantas (yang sedang dilaksana) dalam fasa pemulihan, kita sudah tentunya melihat lonjakan permintaan tempahan perjalanan berikutan fenomena ‘melancong untuk membalas dendam.’

“Malah, berita mengenai fasa ini tiba tepat pada masanya, iaitu pada bulan-bulan yang paling menjadi tumpuan pada setiap tahun untuk melancong, di penghujung cuti akhir tahun.

“Ini sudah tentu memberikan senyuman kepada kebanyakan pemilik hotel kali ini,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!