NAFAS sumbang RM100,000 bantu ahli peladang, penduduk Beluran

Antara ahli Pertubuhan Peladang Kawasan Beluran, Sabah serta penduduk setempat yang menerima sumbangan daripada Nafas.
Antara ahli Pertubuhan Peladang Kawasan Beluran, Sabah serta penduduk setempat yang menerima sumbangan daripada Nafas.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menyampaikan sumbangan Prihatin Peladang sebanyak RM100,000 kepada ahli peladang serta penduduk setempat di Pertubuhan Peladang Kawasan Beluran, Sabah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sumbangan berkenaan disampaikan kepada 1,000 orang yang menerima RM100 setiap seorang pada Ahad.

“Dalam mendepani situasi semasa di mana pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir ini, adalah diharapkan bantuan yang disampaikan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban para penerima.

“Inisiatif Prihatin Peladang NAFAS ini juga adalah selari dengan komitmen Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk memastikan kebajikan golongan yang memerlukan khususnya dalam kalangan ahli keluarga petani, penternak dan nelayan sentiasa diberi keutamaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, sumbangan tersebut telah dilaksanakan oleh NAFAS secara berperingkat di seluruh negara bermula pada awal tahun ini bagi membantu golongan sasar khususnya dalam kalangan para petani, penternak dan nelayan.

Ronald ketika menyampaikan bantuan Prihatin Peladang kepada penduduk di Sabah yang terjejas ekoran Covid-19 pada Ahad.
Ronald ketika menyampaikan bantuan Prihatin Peladang kepada penduduk di Sabah yang terjejas ekoran Covid-19 pada Ahad.

Menurutnya, program anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan Beluran itu menunjukkan komitmen NAFAS dalam memastikan setiap keuntungan daripada aktiviti perniagaan NAFAS dikongsi semula bagi manfaat ahli peladang serta golongan yang memerlukan.

Tambahnya, NAFAS sebagai sebuah institusi yang menerajui pengerakan Pertubuhan Peladang mesti terus diperkasakan menjadi badan perniagaan berdaya maju sekali gus membina pergerakan organisasi kompeten dan berdaya saing.

Artikel Berkaitan:

“Saya yakin dan percaya, Pertubuhan Peladang di semua peringkat akan meneruskan fungsi utamanya dalam memberi perkhidmatan yang berkualiti dan dinamik serta terus berusaha terlibat secara aktif dalam keseluruhan rantaian nilai industri padi negara, meneroka aktiviti nilai tambah dan hiliran khususnya dengan teknologi moden dan digital agar produktiviti dimaksimumkan serta pendapatan dapat ditingkatkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, secara keseluruhannya, NAFAS telah memperuntukkan sumbangan lebih daripada RM1 juta atas prinsip tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi program Prihatin Peladang.

Ujarnya, ia memberi manfaat kepada hampir 10,000 keluarga yang akan menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai antara RM100 hingga RM200 setiap penerima.

Jelas beliau, ia penting supaya model perniagaan yang lebih lestari dapat diwujudkan bagi memberi pulangan lebih baik kepada golongan sasar.

“Saya sememangnya sentiasa mengikut prestasi Pertubuhan Peladang dari semasa ke semasa dan akan menyokong apa-apa usaha bagi terus memperkasakan Pertubuhan Peladang menjadi sebuah entiti yang berdaya maju dalam industri agromakanan negara,” jelasnya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labuk, Samad Jambri, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang juga Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli serta Pengarah Bisnes Sektor Awam NAFAS, Saripol Baharin Karim.