MAFI Prihatin bantu 119,023 penerima

Ronald (kiri) memberikan sumbangan MAFI Prihatin kepada salah seorang penerima di Beluran, Sabah.
Ronald (kiri) memberikan sumbangan MAFI Prihatin kepada salah seorang penerima di Beluran, Sabah.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) merekodkan seramai 119,023 penerima di seluruh negara telah mendapat sumbangan melalui program MAFI Prihatin sejak Januari hingga 10 Oktober tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, program yang melibatkan 10 buah jabatan dan agensi di bawah MAFI dengan nilai bantuan melebihi RM6 juta itu membabitkan penerima di 550 lokasi di seluruh negara.

“Sehingga 9 Oktober 2021, pelaksanaan MAFI Prihatin melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), telah memberi manfaat kepada 38,874 orang di 206 lokasi seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak 84.61 tan metrik makanan telah disalurkan.

“Di Sabah, pelaksanaan MAFI Prihatin melalui FAMA telah memberi manfaat kepada 1,113 orang di tujuh lokasi seluruh negeri dengan nilai bantuan berjumlah RM 81,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum itu, Ronald pada Ahad telah menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin kepada 500 orang penduduk di tiga kawasan di Sabah iaitu Pulau Kaniogan Beluran, Pulau Bukit Besi dan Pulau Ketabuan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pada masa sama, beliau turut menyempurnakan majlis pecah tanah projek naik taraf Pasar Tamu Beluran di samping meninjau perkembangan projek tersebut yang dijangka siap pada pertengahan Mei tahun depan.

Ronald berkata, projek naik taraf Pasar Tamu, Beluran di Sabah itu bakal memberi manfaat kepada 170 orang peserta sedia ada sekali gus memberi keselesaan kepada para peserta dan pengunjung di daerah Beluran.

“Penaiktarafan Pasar Tamu tersebut akan memberi manfaat kepada 170 orang peserta sedia ada, sekali gus memberi keselesaan kepada para peserta dan pengunjung di daerah Beluran. Setelah siap dinaiktaraf, pentadbirannya akan diserahkan kepada Majlis Daerah Beluran.

Artikel Berkaitan:

“Penaiktarafan Pasar Tamu ini juga akan meningkatkan pendapatan dan penglibatan petani, pengusaha dan usahawan di kawasan tersebut sekali gus menjadi saluran pasaran produk agromakanan bagi membantu pengusaha kecil memasarkan hasil keluaran sendiri.

“Selain kerjasama dengan pihak Majlis Daerah Beluran untuk menaik taraf Pasar Tamu, pihak FAMA juga dalam proses membangunkan sebuah Medan Gerai Buah-Buahan Segar di kawasan ini,” ujarnya.

Ronald (duduk) ketika menyempurnakan majlis pecah tanah projek naik taraf Pasar Tamu Beluran pada Ahad.
Ronald (duduk) ketika menyempurnakan majlis pecah tanah projek naik taraf Pasar Tamu Beluran pada Ahad.

Ronald berkata, sehingga kini, FAMA juga telah menaiktaraf dua buah Pasar Tamu di Sabah iaitu Pasar Tamu Sook, Keningau dan Pasar Tamu Kudat, manakala, Pasar Tamu Kunak masih lagi di dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada Mac 2022.

Projek menaiktaraf Pasar Tamu kata beliau, adalah sebahagian daripada program pengukuhan rangkaian peruncitan Pasar Tamu di Sabah dan Sarawak dengan matlamat untuk mentransformasikan tersebut tanpa menghilangkan identiti keunikannya.

“Di bawah RMK12, FAMA telah mengenalpasti tapak Pasar Tamu Tuaran di Sabah sebagai lokasi untuk dinaiktaraf pada tahun 2022 yang juga telah mendapat persetujuan daripada pihak Majlis Daerah Tuaran.

“Pembangunan Pasar Tamu ini merupakan sebahagian daripada fungsi FAMA dalam memperkasakan pemasaran hasilan pertanian melalui pembangunan outlet pemasaran kekal bagi memudahkan urusan antara usahawan dan pengunjung serta pihak berkuasa tempatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ronald turut memaklumkan setakat ini sebanyak 208 daripada 312 Pasar Tani di seluruh negara telah mula beroperasi.

''Selebihnya akan dibuka secara berperingkat sehingga akhir tahun ini dengan mengadaptasi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pembukaan semula semua Pasar Tani di seluruh negara akan memberi manfaat kepada lebih 9,000 usahawan yang dijangka menjana nilai jualan sehingga RM110 juta serta memberi peluang kepada 2.5 juta pelanggan mendapatkan produk agromakanan.