X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Kelantan bina Taman IBS pertama di Malaysia

MoU ditandantangani oleh Nazran (lima, kiri) dan Ir Ahmad 'Asri (lima, kanan) yang disaksikan Fadillah (empat, kiri), Ahmad (tengah) serta Mustapa (empat, kanan). - Foto Sinar Harian
A
A

KOTA BHARU - Kelantan menjadi negeri pertama di Malaysia yang akan membangunkan Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) bernilai RM 74 juta di Sungai Bagan, Machang.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembinaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu dilaksanakan secara bersama oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Kelantan di tanah berkeluasan 81 hektar sumbangan kerajaan negeri dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

“Taman Perindustrian IBS ini adalah inisiatif Program Kecemerlangan IBS di Kelantan yang selari dengan Dasar Pembinaan Negara 2030, dan akan menjadi pusat rujukan setempat pengusaha produk serta teknologi pembinaan di seluruh Pantai Timur.

“Pembangunan ini akan memperkukuhkan jaringan ekosistem IBS di Malaysia seterusnya meningkatkan bilangan penggiat IBS terutama dalam kalangan Bumiputera serta usahawan kecil dan sederhana (SME),” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, pada Ahad.

Beliau sebelum itu menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Kelantan dengan CIDB berkait Usahasama Bagi Membangunkan Taman Perindustrian IBS di Kelantan.

MoU ditandantangani oleh Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid.

Hadir sama menyaksikan MoU tersebut adalah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Fadillah berkata, kaedah pembinaan IBS secara menyeluruh dapat membantu mengurus kos pembinaan perumahan, menggalakkan pemaju menggunakan teknologi IBS bagi meningkatkan kualiti, mengawal kos dan meningkatkan kecekapan.

“Program Kecemerlangan IBS ini bakal memberi peluang pekerjaan kepada lebih 3,500 tenaga kerja.

“Konsep Taman Perindustrian IBS ini juga dibangunkan di beberapa negeri lain yang akan membantu keseluruhan ekosistem sektor pembinaan di Malaysia,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!