KDN bincang isu gaji polis: PM

Ismail Sabri berucap pada Upacara Pemakaian Pangkat Ketua Polis dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bera hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri berucap pada Upacara Pemakaian Pangkat Ketua Polis dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bera hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BERA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membincangkan isu gaji pegawai dan anggota polis dengan kementerian dan agensi berkaitan kerana ia memerlukan kajian lebih menyeluruh, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, perbincangan itu antara lain melibatkan Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan yakin perbincangan awal berkaitan isu itu sudah berlangsung.

“Ini perlu perbincangan mendalam kerana melibatkan kewangan,” katanya ringkas pada sidang akhbar selepas menghadiri Upacara Pemakaian Pangkat kepada Ketua Polis Daerah Bera, Superitendan Mansor Samsudin yang dinaikkan pangkat daripada Deputi Superitendan di Dewan Sri Kempas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera di sini hpada Ahad.

Upacara disempurnakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Turut dinaikkan pangkat ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan N Kumaran yang sebelum ini memakai pangkat Asisten Superintendan.

Ismail Sabri berkata demikian semasa diminta mengulas laporan media baru-baru ini bahawa kadar gaji dan elaun polis terutamanya yang berpangkat rendah menjadi punca polis berhadapan masalah termasuk hutang.

Difahamkan, semakan terakhir gaji polis dibuat pada tahun 2010.

Sementara itu, Ismail Sabri merakamkan penghargaan kepada polis yang cemerlang melaksanakan tugas sebagai pasukan barisan hadapan pandemik Covid-19 tanpa mengira waktu meskipun dalam kesibukan melaksanakan tugas hakiki menjaga keselamatan negara.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, lebih 150,000 penduduk Bera menerima berita gembira pada Ahad apabila Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera mengumumkan pembinaan beberapa balai dan pondok polis baharu, serta menambah baik balai sedia ada di beberapa lokasi strategik demi keselamatan penduduk selari dengan keperluan semasa.

Ini termasuk pembinaan balai dan pondok polis baharu di gugusan Felda Tembagau, Charuk Puting, Felda Bukit Mendi dan Bera Selatan yang ketiadaan pondok polis menyebabkan penduduk sekitar perlukan sejam untuk tiba di balai polis berhampiran.

Ia juga selaras dengan kenaikan IPD Bera daripada gred C kepada gred B yang antara lain membolehkan pertambahan jumlah keanggotaan daripada 300 orang kepada lebih 400 orang serta dilihat sesuai dengan keluasan daerah itu yang hampir menyamai Melaka.

Peruntukan lebih RM2 juta juga diumumkan Perdana Menteri bagi projek penambahbaikan, antaranya pondok polis dan kuarters Triang, IPD Bera, balai polis Kuala Bera, balai polis Mengkarak, balai polis dan kuarters Kemayan, Bandar 32 serta Felda Mayam.

“Pertambahan anggota dan kewujudan balai baharu serta penambahbaikan yang dilakukan akan memberikan keyakinan kepada penduduk Bera dalam aspek keselamatan, selain membaiki kualiti perkhidmatan yang diterima rakyat,” katanya. - Bernama