Kerajaan kaji keperluan lengkap vaksin untuk pemohon baharu

Ismail Sabri (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Acryl Sani pada Upacara Pemakaian Pangkat Ketua Polis dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bera hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Acryl Sani pada Upacara Pemakaian Pangkat Ketua Polis dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bera hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BERA - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu kerajaan akan melihat keperluan pemohon baharu perkhidmatan awam untuk lengkap vaksin sebelum memasuki sektor berkenaan.

Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, perkara itu akan diteliti terlebih dahulu termasuklah dari aspek perundangan dan keperluan dilaksanakan.

"Itu (syarat lengkap vaksin Covid-19) cadangan yang baik tetapi perkara ini perlu diputuskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Setakat hari ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) telah mengeluarkan arahan bahawa setiap kakitangan kerajaan perlu mendapatkan dos lengkap vaksin sebelum 1 November," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di sini pada Ahad.

Beliau ditemui pada majlis kenaikan pangkat Ketua Polis Daerah Bera dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bera di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, dari segi perundangan, mereka yang sedang berkhidmat dalam sektor awam tetapi enggan menerima suntikan Covid-19 boleh dikenakan tindakan berikutan ia tertakluk kepada peraturan kerja.

"Tapi yang baru hendak minta kerja, kita lihat keseluruhan dari segi perundangan sebelum apa-apa keputusan dibuat," jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, IPD Bera telah dinaikkan kepada gred B yang boleh mempunyai keanggotaan sehingga 650 anggota berbanding hanya 300 pada masa ini sekali gus dapat menjamin keselamatan daerah tersebut dengan lebih baik.

"Selain itu, sebuah balai polis baharu dan empat pondok polis akan dibina di daerah ini dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan mengurangkan aktiviti jenayah.

"Ia membabitkan balai polis baharu yang akan dibina di Gugusan Tembangau manakala tiga pondok polis akan dibina di Charuk Puting, Bukit Mendi dan juga Bera Selatan," tambahnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kajian semula elaun anggota polis, Ismail Sabri memberitahu, perkara itu akan dibawa oleh pihak Kementerian Dalam Negeri bagi perbincangan lanjut.

Ujarnya, perbincangan teliti perlu dilakukan dengan JPA dan juga Kementerian Kewangan sebelum apa-apa keputusan dibuat kerana ia melibatkan peruntukan kewangan.