Wajib minta kebenaran MOTAC iklan pakej umrah

Syarikat terlibat pengendalian umrah perlu memohon kebenaran daripada MOTAC terlebih dahulu sebelum membuat iklan atau mempromosikan tawaran pakej ibadah berkenaan.
Syarikat terlibat pengendalian umrah perlu memohon kebenaran daripada MOTAC terlebih dahulu sebelum membuat iklan atau mempromosikan tawaran pakej ibadah berkenaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan mewajibkan syarikat terlibat pengendalian umrah memohon kebenaran daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) terlebih dahulu sebelum membuat iklan atau mempromosikan tawaran pakej ibadah berkenaan.

Kementerian tersebut dalam satu kenyataan memaklumkan, ia bagi menangani kes penipuan berhubung pakej berkenaan.

Menurut MOTAC, pihaknya mengadakan sesi libat urus bersama persatuan-persatuan pengendali umrah untuk membantu merangka dan memperhalusi isu tersebut, antaranya Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra).

“Persatuan-persatuan berkaitan memahami dan menyokong inisiatif dilaksanakan oleh MOTAC demi memelihara kepentingan Keluarga Malaysia dan juga pemain industri umrah itu sendiri.

“Sehingga kini, kementerian ini menerima sebanyak 31 permohonan iklan. Setiap iklan yang diluluskan akan diberi nombor siri khas iklan umrah yang perlu dipaparkan dalam iklan-iklan promosi.

“Ini untuk membantu kementerian mengenal pasti iklan-iklan haram pakej umrah. Borang permohonan boleh dimuat turun daripada laman web rasmi di www.motac.gov.my,” menurut kenyataan tersebut pada Ahad.

Dalam pada itu, MOTAC berkata, kerajaan menetapkan harga lantai pakej umrah selama 12 hari dan 10 malam dengan harga RM6,900 yang selaras dengan perkembangan semasa kerana terdapat peningkatan kos memandangkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) samada di pihak Arab Saudi atau kerajaan Malaysia.

“Antara faktor-faktor mempengaruhi peningkatan kos adalah bilangan kapasiti di dalam bilik penginapan di Arab Saudi, kapasiti pergerakan ppengangkutan yang membenarkan 50 peratus daripada jumlah kapasiti sebenar dan pengurusan mutawif serta ujian swab Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Harga lantai akan disemak semula apabila wabak Covid-19 berakhir dan keadaan kembali normal serta kekangan SOP tidak lagi dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia dan Arab Saudi,” tambah MOTAC dalam kenyataan itu.

Menurut MOTAC, harga tersebut merupakan panduan bagi pihak kementerian untuk melaksanakan pemantauan terhadap industri umrah.

Menurutnya, orang ramai juga boleh menjadikannya panduan dalam membuat pertimbangan untuk memilih syarikat yang sesuai dengan bajet mereka.

“Orang ramai boleh mengambil langkah berhati-hati jika harga ditawarkan terlalu rendah atau terlalu tinggi daripada yang ditetapkan bagi mengelak kes-kes penipuan pakej umrah.

“Boleh hubungi pejabat MOTAC negeri atau layari laman web rasmi bagi mengenal pasti syarikat-syarikat yang telah dilesenkan,” kata MOTAC.