Sungai Remuk tercemar, kerajaan digesa buat siasatan

Keadaan air Sungai Remuk (bawah) yang keruh bertemu dengan Sungai Batang Kali (atas) yang mempunyai kualiti air lebih jernih.
Keadaan air Sungai Remuk (bawah) yang keruh bertemu dengan Sungai Batang Kali (atas) yang mempunyai kualiti air lebih jernih.
A
A
A

HULU SELANGOR - Kerajaan Selangor digesa menyiasat punca sebenar pencemaran yang berlaku di Sungai Remuk di sini.

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan Warga Desa Hulu Selangor, Amir Fairizat Sayuti berkata, masalah itu bertambah teruk setiap kali hujan lebat menyebabkan air sungai bertukar keruh.

Malah, katanya, lebih memburukkan keadaan apabila air dari Sungai Remuk bertembung dengan Sungai Batang kali yang sememangnya terkenal dengan kualiti airnya yang jernih.

"Kita minta siasatan menyeluruh dijalankan membabitkan Sungai Remuk bagi memastikan tiada kesan signifikan kepada kualiti air di sungai terbabit," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.

Seorang lagi AJK Pertubuhan Kebajikan Warga Desa Hulu Selangor, Ajlan Iyeeni Amir Sayuti berkata, siasatan lebih terperinci perlu dijalankan bagi memastikan tiada insiden pencemaran berlaku di Sungai Remuk.

"Kita pun tidak tahu sama pencemaran itu benar atau pun tidak di Sungai Remuk kerana apa yang pasti setiap kali hujan pastinya air di sungai ini menjadi keruh.

"Kerajaan negeri perlu menyiasat perkara ini bagi memastikan pemuliharaan sungai terus dipertahankan," katanya.

Pengusaha Bonda Valley, Saiful Anuar Hashim, 50, berkata, pihaknya kesal dan menafikan sekeras-kerasnya laporan yang mendakwa kononnya punca pencemaran berlaku di Sungai Batang Kali.

Artikel Berkaitan:

Keadaan air Sungai Remuk (bawah) yang keruh bertemu dengan Sungai Batang Kali (atas) yang mempunyai kualiti air lebih jernih. (Gambar kecil dari kiri Amir Fairizat , Saiful Anuar)
Keadaan air Sungai Remuk (bawah) yang keruh bertemu dengan Sungai Batang Kali (atas) yang mempunyai kualiti air lebih jernih. (Gambar kecil dari kiri Amir Fairizat , Saiful Anuar)

Katanya, tuduhan itu tidak benar berikutan punca sebenar pencemaran berlaku di Sungai Remuk.

"Kita boleh lihat perbezaan ketara antara Sungai Remuk dan Sungai Batang Kali sebelum kedua-duanya bertembung di hilir sungai.

"Saya hairan bagaimana boleh timbul isu Sungai Batang Kali tercemar sedangkan kawasan ini masih berada dalam keadaan baik seperti rekod Jabatan Alam Sekitar.

"Keadaan ini secara tidak langsung memberi imej buruk kepada pengusaha resort di sini yang seolah-olah menganggap kami tidak peka dan sensitif isu pencemaran sungai," katanya.

Jelas beliau, tidak timbul isu pembangunan dan pembinaan calet di kawasan itu menyebabkan pencemaran di Sungai Batang Kali.

Beliau memberitahu, sebarang pembinaan di kawasan itu dilakukan dengan pemantauan dan pematuhan lesen secara berkala.

"Malah, sebagai pengusaha resort kami juga mengambil kira kepentingan dan penjagaan alam sekitar termasuk membina benteng penahan hakisan berharga jutaan ringgit," katanya.

Saiful Anuar berkata, sebagai pengusaha resort, sudah pasti ekosistem sekeliling perlu dipelihara selain memerlukan air bersih untuk kegunaan harian.

"Kita tidak mahu ada isu pencemaran di Sungai Batang Kali, apatah lagi pengunjung yang datang ke sini ingin menikmati kejernihan air sungai ini bagi tujuan rekreasi dan pelancongan," jelasnya.