Penempatan orang asli digazet, elak diganggu pembangunan

Amirudin (kiri) pada program Jelajah Prihatin bersama Masyarakat Orang Asal Gombak, pada Ahad.
Amirudin (kiri) pada program Jelajah Prihatin bersama Masyarakat Orang Asal Gombak, pada Ahad.
A
A
A

GOMBAK - Kerajaan negeri menyasarkan isu gazet kampung orang asli di Selangor diselesaikan pada penggal ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hampir keseluruhan kampung orang asli di negeri itu telah dapat digazetkan dan sebahagian lagi sedang dalam peringkat pelaksanaan.

Menurut beliau, langkah itu dilakukan bagi memastikan penempatan orang asli tidak diganggu dengan pembangunan pesat di negeri itu.

"Saya akan pastikan isu gazet kampung orang asli diselesaikan penggal ini supaya mereka yakin kawasan penempatan mereka tidak tercengkam dan terbeban oleh pembangunan serta kemajuan yang rancak di Selangor.

"Ukuran gazet ini bagi memastikan pastikan penempatan mereka termasuk kawasan rayau mereka tidak terganggu dengan pembangunan," katanya pada program Jelajah Prihatin bersama Masyarakat Orang Asal Gombak pada Ahad.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, ukuran kawasan yang digazet itu bergantung kepada jumlah penduduk dan keluasan sesuatu kawasan.

Bagaimanapun, Amirudin memberitahu kebanyakan isu gazet kampung orang asli di Sepang telah diselesaikan.

"Ada sebahagian lagi mempunyai masalah disebabkan ukuran dan sebaik mungkin akan diselesaikan tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri kena lihat semula bajet dan peruntukan ukuran untuk tahu sempadan dan kawasan mereka, " katanya.