X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 09 Disember 2021

Kerajaan digesa guna pendekatan hak asasi manusia basmi kemiskinan

Suhakam
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan untuk menerima pakai pendekatan berteraskan hak asasi manusia dalam usaha untuk membasmi kemiskinan.

Suhakam dalam kenyataan berkata, ia termasuk penglibatan aktif golongan rentan dalam membuat keputusan yang melibatkan mereka dan komitmen kerajaan sebagai pemegang amanah untuk memenuhi tanggungjawabnya.

Tambah kenyataan itu, pihak berkenaan juga perlu memastikan prinsip tiada diskriminasi dan kesaksamaan dipenuhi serta memperkasakan setiap individu untuk menuntut dan menjalankan hak mereka.

“Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kemiskinan dan hak asasi manusia telah melaporkan pada 2019 bahawa terdapat sekurang- kurangnya 110 program sokongan sosial yang berbeza melibatkan 20 kementerian dan agensi di Malaysia.

“Sementara mengakui usaha kerajaan untuk mengurangkan impak pandemik Covid-19 dan untuk mengurangkan kemiskinan tegar melalui Pelan Pemulihan Kebangsaan dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) (2021-2025), penting untuk mengambil maklum bahawa strategi yang lebih selaras diperlukan bagi memastikan semua rancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, Suhakam turut menyeru agar semua pihak berkepentingan memainkan peranan masing-masing ke arah merealisasi dan melindungi hak komuniti rentan.

Kata kenyataan itu, ia bagi memastikan mereka dapat menikmati sekurang-kurangnya standard minimum kehidupan yang bermaruah yang ditetapkan oleh Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

“Suhakam mendapati bahawa di Malaysia, kemiskinan terus wujud dalam kalangan mereka yang kurang bernasib baik dari segi ekonomi dan sosial antaranya termasuk pekerja gaji harian, pekerja kontrak, ibu atau bapa tunggal, orang asli dan orang kurang upaya.

“Pandemik Covid-19 serta kekurangan sistem perlindungan sosial yang menyeluruh, telah memburukkan lagi kerentanan golongan tersebut.

“Ia turut menjejaskan kebolehan mereka untuk melindungi diri daripada gangguan atau kehilangan mata pencarian yang disebabkan oleh kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan semasa pandemik,” kata kenyataan tersebut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!