Henti percaturan politik, tumpu mandat rakyat: Ahmad Maslan

Ahmad.
Ahmad.
A
A
A

MELAKA - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yakin rakyat akan membuat pilihan tepat dan rasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan dilaksanakan.

Ini kerana tsunami politik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu sehingga menyebabkan ketidakstabilan politik untuk tempoh masa yang panjang sehingga kini perlu dijadikan iktibar.

“Saya kira rakyat kesal terhadap kesilapan mereka memilih pada PRU lalu kerana kesilapan memilih untuk mencuba sesuatu yang baru maka (kesannya) negeri dan negara tidak stabil sehingga ke hari ini.

“Harapan saya rakyat tidak lagi salah pilih kerana menukar kerajaan ini ada implikasi positif serta negatif dan akibat (membenarkan) pihak tidak betul memerintah, bukan sahaja melaka malahan negara tidak stabil untuk tempoh yang lama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan jentera UMNO parlimen Hang Tuah Jaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, di sini pada Ahad.

Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mustafa Musa, Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridwan Mohd Ali dan Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, UMNO perlu memastikan kemenangan besar pada PRN Melaka sebagai langkah ‘menghentikan’ mandat percaturan wakil rakyat kepada mandat rakyat.

“Percaturan wakil rakyat bukanlah mandat sebenar dalam sesebuah demokrasi berparlimen terutama di negara kita ini yang paling mujarab adalah mandat sebenar rakyat yang perlu dikembalikan dalam PRN yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

“Jika politik dan pentadbiran tidak stabil, ini akan mengakibatkan kesukaran banyak pihak termasuk dari segi mentadbir, pelabur, perubahan struktur politik dan juga rakyat secara amnya,”katanya.

Justeru, jelas Ahmad, akar umbi di setiap peringkat bahagian perlu sentiasa bersiap siaga dari pelbagai aspek termasuk persiapan jentera supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) dijadikan pilihan rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negeri Melaka. - Awani