Pusat latihan memanah berkuda pertama di Kelantan

Jurulatih Persada Stud Farm Mohd Ridzuan Zakaria (kiri) melatih seorang peserta wanita menunggang kuda dan memanah sempena hari pembukaan Pusat Latihan Sukan Berkuda, Persada Stud Farm di Jeram Mengaji Agro Resort, Selising hari ini. Foto Bernama
Jurulatih Persada Stud Farm Mohd Ridzuan Zakaria (kiri) melatih seorang peserta wanita menunggang kuda dan memanah sempena hari pembukaan Pusat Latihan Sukan Berkuda, Persada Stud Farm di Jeram Mengaji Agro Resort, Selising hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PASIR PUTEH - Kelantan menyasarkan 100 peserta dapat menjalani latihan sukan memanah berkuda di Persada Stud Farm terletak di Jeram Mengaji Agro Resort, Selising di sini.

Pengurusnya, Yong Fariza Umar berkata, ia adalah pusat pertama ditubuhkan di Kelantan dan mendapat sambutan menggalakkan sebaik dibuka semalam dengan penyertaan golongan belia termasuk dalam kalangan murid sekolah.

“Ia membabitkan latihan asas dan kaedah menunggang dan memanah mengikut cara yang tepat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat sukan itu di sini pada Ahad.

Yong Fariza berkata, sebanyak 10 ekor kuda dan seorang jurulatih bertaraf antarabangsa sedia memberi latihan kepada peserta untuk mencapai kemahiran dalam sukan itu seterusnya ke peringkat pertandingan.

Sukan berkenaan berpotensi untuk dimajukan selain mempunyai kawasan latihan sepanjang lebih tiga kilometer, malah kawasan itu juga mempunyai suasana cukup memukau dengan dikelilingi banjaran bukit bukau, katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan penyertaan penduduk dari Besut, Terengganu yang berminat untuk mempelajari sukan memanah berkuda. - Bernama

Artikel Berkaitan: