PRN Melaka: BN akan bincang pembahagian kerusi, calon

Zambry
Zambry
A
A
A

LUMUT - Barisan Nasional (BN) akan mengadakan pertemuan dengan semua pimpinan parti komponen bagi membincangkan pembahagian 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pemilihan calon juga akan ditentukan oleh kepimpinan negeri dan Pusat.

Menurutnya, kedua-dua perkara itu bagaimanapun bergantung kepada pengumuman rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin.

"Kita belum ada formula khusus untuk membincangkan dari segi kedudukan pembahagian kerusi ini kerana setiap pilihan raya tentu mempunyai dinamiknya tersendiri iaitu kedudukan-kedudukan dalam setiap kawasan.

"Maka, BN akan mengadakan pertemuan dengan semua pimpinan parti dalam kompenannya untuk membincangkan dari segi pembahagian kerusi nanti sekiranya pilihan raya diadakan.

"Calon itu pula akan ditentukan oleh pihak kepimpinan kedua-duanya. Itu bergantung kepada pengumuman oleh SPR terlebih dahulu jadi saya tidak boleh melangkauinya sebelum sebarang kenyataan selanjutnya yang akan dikeluarkan daripada pihak BN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi lawatan kerja Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi di Jeti Penumpang Lumut di sini pada Ahad.

Zambry berkata, BN akan bertanding di semua kerusi yang mereka tandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, pihaknya telah membuat persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya PRN diadakan.

"Saya sudah mengadakan pertemuan awal dengan pihak kepimpinan di Melaka dan daripada pemantauan kita, mereka sudah membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan sama ada pilihan raya ataupun sebaliknya," katanya.

Ditanya sama ada BN akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zambry berkata, BN masih dengan kedudukan untuk tidak bekerjasama dengan parti tersebut seperti diputuskan di peringkat Perhimpunan Agung UMNO lalu.