X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 09 Disember 2021

Salah pemain terbaik dunia

Salah disifatkan sebagai pemain terbaik dunia ketika ini.
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan Mohamed Salah adalah sebagai pemain terbaik dunia ketika ini selepas persembahan cemerlang dipamerkan pemain kelahiran Mesir itu ketika kemenangan 5-0 ke atas Watford di Vicarage Road pada Sabtu.

Menurutnya, tiada pemain lain di dunia ketika ini mampu menandingi kemampuan Salah termasuk Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

"Persembahan Salah pada hari ini sangat mengagumkan. Ia sememangnya luar biasa dengan bantuan golnya dan jaringan yang dilakukannya.

"Dia dalam mood untuk mencuba dalam kotak penalti. Dia sudah mencuba beberapa kali dan saya tidak ada masalah kerana seorang penyerang sepatutnya melakukan apa yang dilakukannya itu.

"Kami sememangnya memerlukan pemain sepertinya untuk mencapai apa yang kami hajati. Dia sekarang berada di kedudukan teratas. Siapa yang lebih layak menandinginya?

"Kita tidak perlu bercakap mengenai apa yang Messi dan Ronaldo lakukan pada dunia bola sepak dan berapa lama mereka mendominasi dunia.

"Buat masa ini, saya rasa sangat jelas tiada siapa yang lebih bagus daripada Salah. Ia bukan baharu semalam, tetapi dia berada di prestasi ini sejak sekian lama," katanya.

Salah ketika ini sudah menyamai jaringan Didier Drogba sebagai pemain Afrika dengan gol terbanyak di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dalam pada itu, Salah tidak mahu terlalu memfokuskan kepada kejayaannya itu selain menegaskan perkara paling utama adalah untuk membantu pasukan meraih kejuaraan musim ini.

"Setiap kali saya berada di dalam kotak penalti, saya berusaha memberikan bola kepada rakan untuk menjaringkan gol atau gol sendiri, jadi ini selalu mengenai pasukan dan bermain untuk pasukan. Perkara yang paling penting ialah pasukan dapat menjaringkan gol dan meneruskan rentak kemenangan.

"Saya tidak tahu (jika saya berada dalam situasi terbaik dalam karier saya). Kadang-kadang saya tidak bernasib baik untuk menjaringkan gol tetapi saya selalu berusaha 100 peratus untuk membantu pasukan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!