Mantap tapi belum padu

Lee Zii mengetuai cabaran negara pada saingan Piala Thomas. GAMBAR KECIL: Roslin
Lee Zii mengetuai cabaran negara pada saingan Piala Thomas. GAMBAR KECIL: Roslin
A
A
A

BEKAS pemain perseorangan negara, Roslin Hashim menyarankan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melakukan kajian semula terhadap prestasi dalam kalangan pemain negara terutama melibatkan aspek kecergasan selepas cabaran skuad Piala Thomas negara terhenti pada suku akhir apabila tewas 0-3 kepada Indonesia.

Roslin berkata, elemen conditioning dan recovery merupakan dua perkara yang membelenggu persembahan skuad negara yang diketuai Lee Zii Jia sepanjang kejuaraan berkenaan berlangsung.

“Saingan Piala Thomas kali ini, skuad negara berdepan jadual padat yang menuntut setiap pemain berada pada tahap kecergasan terbaik masing-masing, namun jika kita lihat elemen kecergasan ini tidak hanya membelenggu pemain muda tetapi pemain senior seperti Zii Jia.

“Saya bagi contoh, Datuk Lee Chong Wei pun pernah beraksi kurang 24 jam dalam beberapa perlawanan berintensiti tinggi, namun tengok bagaimana dia mengatasinya biarpun tetap ada sedikit kekurangannya cuma tidak ketara sangat.

“Saya percaya sekiranya dua perkara berkaitan dengan conditioning dan recovery diperbaiki sama ada terhadap Zii Jia dan Aaron Chia atau pemain muda lain, sukar untuk pemain-pemain lawan mengatasi mereka,” ujar Roslin kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Jelas Roslin lagi, situasi itu jelas ketara ketika perlawanan melibatkan pertemuan berprofil tinggi Zii Jia menentang Anthony Sinisuka Ginting dan Kento Momota dalam kejuaraan Piala Sudirman dan Piala Thomas.

“Untuk Piala Thomas kita kena tengok prestasi pemain. Contohnya Zii Jia, semasa di kejuaraan Piala Sudirman baru-baru ini, beliau tidak berdepan masalah menyaingi Anthony dan Momota, namun pada saingan Piala Thomas sebaliknya berlaku.

“Jika kita lihat sepanjang saingan Piala Thomas, skuad negara tidak jauh beza dengan pesaing lain seperti Jepun dan Indonesia kerana semua sama baik dari segi kemahiran dan semangat walaupun kita menurunkan pemain muda seperti Ng Tze Yong.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin pemain-pemain negara berdepan masalah hendak kembali recovery selepas mengharungi jadual perlawanan yang padat, sekali gus mengundang kepada prestasi turun naik semasa saingan Piala Thomas ini,” kata Roslin.

Pada masa sama beliau berkata, berada terlalu lama di Eropah juga berpotensi menyebabkan prestasi para pemain negara terjejas.

Jelasnya, perlawanan yang berlaku di Denmark tidak sama seperti ketika di Finland.

“Jangan kita ingat pemain-pemain negara begitu selesa apabila berada di negara iklim yang berbeza dengan Malaysia, mungkin terdapat pihak yang mempertikaikan perkara ini kerana sepatutnya mereka sudah sepatutnya membiasakan diri dengan iklim di negara Scandinavia tersebut.

“Saya bagi contoh seperti saya dulu terutamanya kejuaraan di Eropah, kita pergi tournament back to back selama tiga minggu sekiranya pemain gagal mengawal situasi mereka akan lunyai awal.

“Ini kerana apabila kita duduk di negara beriklim seperti Finland dan Denmark, ia akan pengaruhi psikologi,” katanya.

Pada aksi suku akhir, Malaysia bermula langkah kiri apabila Zii Jia tewas 15-21, 17-21 kepada Anthony Sinisuka Ginting, manakala Aaron Chia-Soh Wooi Yik kalah 17-21, 16-21, 15-21 kepada Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo sebelum Jonatan Christie yang menewaskan Ng Tze Yong 14-21, 21-19, 21-16.