Tolak dasar Malaysian Malaysia: Razlan

RAZLAN
RAZLAN
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat perlu bersatu hati bagi menolak dasar Malaysian Malaysia yang didakwa menjadi pegangan kerajaan pada hari ini.

Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohamad Razlan Rafii berkata, walaupun perjalanan PRU15 masih jauh, namun dasar berkenaan dilihat sudah terlaksana tanpa memerlukan sebarang perubahan di dalam perlembagaan negara.

Beliau mendakwa, kebanyakan pemimpin PH pada masa kini dianggap dayus berikutan hanya berdiam diri mengenai perkara itu semata-mata bagi menjaga perhubungan dengan DAP.

"Orang Bumiputera dan Melayu hanya ada satu pilihan, Sabah Sarawak hanya ada satu pilihan, (iaitu) bersatu menolak (dasar) Malaysian Malaysia yang menjadi dasar kerajaan hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu menerusi laporan sebuah portal, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan kerjasama antara UMNO dan Pas sebagai satu 'pengisytiharan perang' ke atas masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam di bawah panji penyatuan Melayu.

Bagaimanapun, selepas itu frasa ‘pengisytiharan perang’ ditukar kepada ‘menyasarkan’.

Dakwaan Guan Eng itu dibuat susulan UMNO dan Pas secara rasminya menjalinkan kerjasama ke arah penyatuan ummah dengan mengambil kira masyarakat Malaysia yang majmuk tanpa meminggirkan agama dan bangsa lain.

Mengulas lanjut, Razlan berkata, sebaik PH mendapat kuasa, DAP dilihat rakus dengan objektif mereka bagi memperjuangkan dasar berkenaan yang telah sekian lama ditolak oleh rakyat negara ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga merupakan aktivis masyarakat berkata walaupun pemimpin Melayu PH mendakwa akan memperjuangkan kepetingan perlembagaan namun tanpa disedari agenda tersebut telah diterima oleh mereka secara diam.

"Apa sahaja yang dibuat oleh DAP pada masa ini akan disokong oleh pemimpin Melayu PH," katanya.