15 kawasan berisiko tinggi kes dadah di Kelantan

Rohayu (kanan) menyampaikan bantuan makanan kepada OKP di Kemasin, Perupok, Bachok pada Khamis.
Rohayu (kanan) menyampaikan bantuan makanan kepada OKP di Kemasin, Perupok, Bachok pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 15 lokasi di negeri ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi membabitkan gejala penyalahgunaan dadah.

Pengarah AADK negeri, Rohayu Ahmad berkata, ia meliputi jumlah keseluruhan sebanyak 4,885 penagih yang berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) setakat September lalu.

Beliau berkata, kawasan berisiko tinggi itu dikelaskan oleh AADK berdasarkan jumlah kes penagihan dadah di satu-satu lokasi mengikut tiap daerah.

Menurutnya, daerah Kota Bharu mendahului senarai dengan merekodkan bilangan orang kena pengawasan (OKP) sebanyak 736 orang, antaranya bandar Kota Bharu dan Pengkalan Chepa.

“Seterusnya masing-masing satu kawasan berisiko tinggi di daerah lain seperti Machang dengan 706 OKP, selain Tumpat (641), Pasir Mas (604), Tanah Merah (501), Bachok (483), Gua Musang (361), Pasir Puteh (336), Kuala Krai (344) dan Jeli (173).

“Keseluruhan OKP AADK di Kelantan di 15 lokasi berisiko tinggi ialah 4,885 orang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau sebelum itu turun padang melawat ke rumah lapan OKP dan keluarga dalam Program Hijrah Keluarga di Perupok, Bachok pada Khamis lalu.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Bachok, Mohd Farid Abdul Razak; Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin.

Artikel Berkaitan:

Rohayu berkata, daripada keseluruhan 4,885 OKP setakat September lalu, seramai 3,663 terdiri daripada golongan belia berusia 20 hingga 39 tahun.

“Usia OKP dewasa 40 tahun ke atas pula sebanyak 935 orang, manakala remaja yang berusia 18 tahun ke bawah berjumlah 287 orang.

“Pihak AADK juga sedang giat menjalankan usaha bersepadu ‘menghijaukan’ dua kawasan berisiko tinggi iaitu di bandar Kota Bharu dan Perupok di Bachok membabitkan pelbagai agensi menerusi Program Hijrah Keluarga yang bermula pada Julai lalu,” katanya.