Ambil tindakan segera ke atas Guan Eng: Ismail Sabri

Ismail Sabri​ Yaakob
Ismail Sabri​ Yaakob
A
A
A

​SHAH ALAM - Polis perlu mengambil tindakan segera terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan serta provokasi kepada orang bukan Melayu​.

​Pengerusi UMNO Selangor, Dat​u​​k​ Seri Ismail Sabri​ Yaakob berkata, kenyataan Guan Eng yang menyifatkan ​kerjasama rasmi UMNO-PAS sebagai pengisytiharan perang terhadap orang bukan Melayu dan bukan Islam​ jelas merupakan tindakan ​jahat, tidak bertanggungjawab dan sangat berbahaya kepada perpaduan di negara ini​.

Beliau berkata, ​kenyataan Guang Eng itu ​menggambarkan sikap sebenar ​beliau yang merupakan seorang pemimpin yang sangat rasis.

K​atanya, apakah ​Guan Eng​ yang juga Menteri Kewangan mahu supaya orang bukan Melayu ​turut mengisytiharkan perang terhadap orang Melayu?

"​Sebagai seorang menteri,​ Guan Eng sepatutnya menyeru kepada perpaduan antara kaum​.

"​​Jika tindakan dan sikap menghasut ini dibiarkan tanpa tindakan, saya bimbang ia akan mencetuskan bencana kepada negara​," katanya yang melihat tindakan Guan Eng​ ​tidak ubah seperti ​bapanya, ​Lim Kit Siang yang memimpin DAP pada 13 Mei 1969 sehingga mencetuskan rusuhan kaum terburuk dalam sejarah negara.

Menurutnya, kerjasama UMNO-PAS hanya untuk menyatupadukan Melayu/Islam tanpa meminggirkan kaum lain.

"Tidak ada niat langsung untuk membuat provokasi ke atas kaum lain, malah Islam sentiasa adil dan menjaga kepentingan kaum minoriti," katanya yang juga mahu polis bertindak adil dalam kes ini tanpa mengira kedudukan Guan Eng pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, polis tidak seharusnya berkompromi dengan apa jua unsur hasutan dan tindakan provokasi sebegini kerana ia boleh mencetuskan ketegangan kaum.

​Dalam pada itu, Ismail Sabri​ berkata, beliau melihat kenyataan Guan Eng itu juga menggambarkan keadaan PH yang kini berada dalam ketakutan.

Beliau berkata, dengan termeterai kerjasama rasmi dua kuasa politik Melayu/Islam ini, ia bakal menjadi mimpi ngeri dan bencana kepada kerajaan PH yang terbina dari perpecahan bangsa Melayu/Islam hasil dari fitnah serta perancangan halus politik DAP.

​"​Apa yang saya nampak​, ​Guan Eng dan PH ​mengakui kegagalan menghasut Melayu Islam yang​ semakin sedar dari perpecahan yang merugikan Melayu/Islam dan kini ​mereka cuba untuk menghasut kaum bukan ​M​elayu untuk membenci orang Melayu/Islam.

​"​Fitnah dan hasutan merupakan formula dan ramuan wajib ​DAP sehingga mereka berjaya berkuasa di Putrajaya​," katanya dalam satu kenyataan media.