Operasi institusi pendidikan terus ikut fasa sama esok

Institusi pendidikan di Kedah dan Kelantan mula beroperasi 31 Oktober manakala Pulau Pinang, Perak dan Sabah, 1 November ini. - Foto 123rf
Institusi pendidikan di Kedah dan Kelantan mula beroperasi 31 Oktober manakala Pulau Pinang, Perak dan Sabah, 1 November ini. - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Sabah akan terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Isnin.

KPM dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan pengoperasian institusi pendidikan mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu dari tarikh peralihan ke fasa tersebut.

“Apabila Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Sabah beralih ke Fasa 3 pada 18 Oktober 2021, maka pengoperasian institusi pendidikan berdasarkan ketetapan Fasa 3 bagi Kedah dan Kelantan akan bermula pada 31 Oktober 2021.

“Bagi Pulau Pinang, Perak dan Sabah pula, pengoperasian institusi pendidikan berdasarkan ketetapan Fasa 3 akan bermula pada 1 November 2021,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Pada Jumaat, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju membenarkan peralihan fasa PPN untuk tujuh negeri dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) berkuat kuasa pada 18 Oktober depan.

Menurut kenyataan itu, pengoperasian Fasa 3 PPN itu melibatkan murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi.

Tambah kenyataan tersebut, turut terlibat ialah Tingkatan Enam Semester Dua, prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya, sekolah harian, sekolah swasta, ‘International Baccalaureate Diploma (IBD)’ serta kelas peperiksaan antarabangsa iaitu IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate serta kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

Sementara itu, kata kenyataan berkenaan, pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM bagi Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya turut kekal beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Jelas kenyataan itu, memandangkan negeri-negeri berkenaan beralih ke Fasa 4 PPN bermula Isnin, maka pengoperasian institusi pendidikan berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN hanya bermula pada 1 November depan.

“Ini turut melibatkan kemasukan bagi murid Tahap Satu iaitu Tahun Satu, Dua dan Tiga sekolah rendah serta murid Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat sekolah menengah.

“Kehadiran murid Tahap Dua iaitu Tahun Empat, Lima dan Enam sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua sekolah menengah bagi Melaka, Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya akan bermula pada 8 November 2021 iaitu seminggu selepas negeri-negeri tersebut memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN,” jelas kenyataan itu.