X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Vaksin Covid-19: Negara anggota WTO tolak pelepasan paten

Gambar hiasan.- Foto 123rf
A
A

NEGARA-negara anggota Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) pada Jumaat mengakui mereka sekali lagi gagal mencapai persetujuan pelepasan hak harta intelek bagi vaksin Covid-19.

Justeru, Afrika Selatan dan India menggesa hak harta intelek digantung sementara untuk vaksin koronavirus ketika pandemik, bagi meningkatkan pengeluaran.

Ia juga bagi mengatasi isu jurang ketidaksamaan akses vaksin antara negara kaya dan miskin.

Namun, idea itu mendapat tentangan sengit syarikat farmaseutikal gergasi serta negara lokasinya, yang menegaskan paten bukan halangan utama meningkatkan pengeluaran vaksin dan memberi amaran langkah itu berisiko menyekat inovasi.

Tekanan kini memuncak untuk satu persetujuan dicapai sebelum bermulanya sidang kementerian ke-12 WTO pada 30 November hingga 3 Disember depan di Geneva.

Majlis persetujuan WTO bagi Aspek Berkaitan Perdagangan Untuk Hak Harta Intelek (Trips) bersidang pada Rabu dan Khamis lalu dalam usaha membincangkan isu berkenaan.

WTO berfungsi dengan konsensus, iaitu semua 164 negara anggota perlu bersetuju dengan apa saja perjanjian.

Dalam satu kenyataan Jumaat, WTO memaklumkan majlis itu belum mencapai persetujuan dan beberapa negara "mengetengahkan risiko tidak mencapai persetujuan kecuali beberapa delegasi menjanjikan tolak ansur yang jelas".

Pengerusi Majlis Trips, yang juga Duta Norway ke WTO, Dagfinn Sorli, mengakui badan itu "belum berada dalam kedudukan untuk bersetuju pada hasil yang konkrit dan positif."

Katanya, Trips akan terus berunding dengan negara anggota untuk mencapai konsensus sebelum sidang kementerian WTO di Geneva dan rundingan lanjut dijadualkan pada 26 Okt depan.

Sejumlah negara menyokong usul Afrika Selatan dan India untuk menggantung paten koronavirus, selain turut disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan beberapa badan lain.

Purata kadar vaksinasi Covid-19 di negara kaya adalah 30 kali lebih tinggi berbanding negara miskin, yang kebanyakannya kini mempertimbang pemberian dos ketiga ketika berbilion lagi individu belum menerima suntikan pertama vaksin.

Penyokong Kempen Virus Outbreak Britain Global Justice membawa keranda palsu sebagai simbolik jumlah kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia, di London, 12 Okt, 2021.

Britain mengambil bahagian dalam mesyuarat harta intelek WTO untuk meningkatkan jumlah vaksinasi di seluruh dunia. Para penyokong kempen mahu syarikat-syarikat farmaseutikal besar membatalkan paten terhadap ubat Covid-19 bagi membolehkan negara-negara miskin memvaksinasi populasi mereka. - Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!