KKMM kenal pasti enam kumpulan sasar kempen jenayah siber

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor (tiga, kanan) beramah mesra bersama penceramah jemputan pada Majlis Perasmian Taklimat Kesedaran Pencegahan Jenayah Siber & Antipemerdagangan Orang di Dewan KKMM hari ini.
Turut kelihatan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM Datuk Samsuni Mohd Nor (kiri) dan Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik KKMM Datuk Almain Ajirul (kanan).- Foto Bernama
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor (tiga, kanan) beramah mesra bersama penceramah jemputan pada Majlis Perasmian Taklimat Kesedaran Pencegahan Jenayah Siber & Antipemerdagangan Orang di Dewan KKMM hari ini. Turut kelihatan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM Datuk Samsuni Mohd Nor (kiri) dan Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik KKMM Datuk Almain Ajirul (kanan).- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengenal pasti enam kumpulan sasar yang perlu didekati dan diberi penerangan menerusi Kempen Kesedaran Jenayah Siber dan Antipemerdagangan Orang.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor berkata, enam kumpulan itu ialah pesara, golongan pertengahan, wanita bekerjaya, pelajar sekolah menengah, pelajar institusi pengajian tinggi dan penuntut kolej.

Beliau berkata, kempen yang dijalankan dengan rakan strategik termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dimulakan sejak awal tahun ini hingga 31 Disember ini.

Berucap ketika merasmikan Taklimat Isu 2019: Kempen Kesedaran Pencegahan Jenayah Siber dan Antipemerdagangan Orang di KKMM di sini, hari ini, beliau berkata antara kes yang paling ketara ialah penipuan menerusi telekomunikasi termasuk Macau Scam, pinjaman tidak wujud dan penipuan berkaitan pembelian dalam talian.

Menurutnya, kes tipu pelanggan menerusi panggilan telefon yang dilaporkan pada 2018 adalah sebanyak 3,816 kes melibatkan RM162 juta, meningkat berbanding pada 2017 yang merekodkan 2,912 kes dengan wang terlibat RM65 juta. Mohd Ali berkata, taklimat separuh hari pada hari ini melibatkan lebih 500 komunikator utama KKMM khususnya daripada Jabatan Penerangan yang akan memberikan penjelasan dan pemahaman kepada rakyat mengenai jenayah siber.

Taklimat hari ini turut menarik perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang hadir seketika dan duduk di barisan belakang bersama para peserta bagi taklimat bertajuk 'Mengurus Risiko Siber' yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Saidatul Ashikin Abu Hassan.

Saidatul Ashikin dalam ceramahnya, menasihati pengguna media sosial supaya tidak 'terlebih kongsi' maklumat serta berkongsi mengenai risiko 'terlebih kongsi'.

Seorang lagi penceramah, ASP Nasrul Mohd Isa yang merupakan Pegawai Penyiasat Jenayah Telekomunikasi (1) Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman berkata, kebanyakan mangsa penipuan siber kini ialah mereka yang berada pada penghujung karier dan mempunyai simpanan yang banyak. - Bernama

Artikel Berkaitan: