Amal tiga aspek pencegahan jika balik kampung

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM – Rakyat Malaysia disaran mengutamakan tiga aspek pencegahan apabila mahu pulang ke kampung atau bercuti susulan aktiviti rentas negeri dibenarkan oleh kerajaan.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tiga aspek pencegahan terbabit melibatkan jenayah, kemalangan jalan raya dan penularan Covid-19.

“Ketiga-tiga ini mesti difikirkan setiap orang yang mahu pulang ke kampung.

“Misalnya kalau mahu balik kampung, rumah ditinggalkan perlu dipastikan dikunci dengan baik dan tidak meninggalkan sesuatu yang boleh memberi isyarat kepada penjenayah untuk melakukan jenayah,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, Lam Thye menasihatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa memberi tumpuan di jalan raya.

“Jangan bermain dengan telefon bimbit. Kalau letih semasa memandu, ganti dengan pemandu lain sama ada isteri atau anak.

“Kita mesti memberi perhatian penuh di jalan raya untuk memastikan boleh sampai ke destinasi dengan selamat,” katanya.

Katanya, semasa di jalan raya pelbagai kesalahan dilakukan seperti membawa kenderaan dengan laju dan tidak ada konsentrasi yang boleh mengakibatkan kemalangan.

Artikel Berkaitan:

“Apabila kemalangan, ada juga kes-kes kematian berlaku di jalan raya,’ katanya.

Menurut beliau, setiap rakyat Malaysia perlu mematuhi 100 peratus prosedur operasi standard (SOP) semasa pulang ke kampung.

“Bila keluar dari kereta, mesti memakai pelitup muka dan apabila berada di tempat awam, elak tempat ramai orang dan kekalkan penjarakan fizikal.

“Ini sangat penting kerana banyak penularan Covid-19 berlaku kerana kegagalan orang-orang tertentu mengamalkan penjarakan fizikal,” tegasnya.

Tambah Lam Thye, mereka disarankan melakukan ujian saringan Covid-19 melalui kit ujian kendiri secara kerap.

“Bawa kit ujian Covid-19 bersama dan apabila sampai ke destinasi, boleh buat ujian kerana ia sangat cepat.

"Apabila membuat saringan, kita perlu pastikan bahawa keputusannya negatif,” kata beliau.