Kesedihan berganda pasangan warga emas

Md Jais (duduk, kanan) sewaktu melawat Hamzah (duduk, tengah) dan Sumini (duduk, kiri) di Kampung Paya, Kluang.
Md Jais (duduk, kanan) sewaktu melawat Hamzah (duduk, tengah) dan Sumini (duduk, kiri) di Kampung Paya, Kluang.
A
A
A

KLUANG - Sepasang suami isteri warga emas di Kampung Paya, di sini, mengalami kesedihan berganda selepas anak bongsu pasangan tersebut pula meninggal dunia selepas kediaman mereka dirempuh sebuah kereta dalam kejadian 2 Februari lalu.

Hamzah Mukri, 67, berkata, anak bongsu mereka, Mohd Nasir, 34, meninggal dunia pada 27 Februari lalu di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang selepas hampir tiga minggu bertarung nyawa akibat kemalangan tersebut.

"Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, sebuah kereta dipandu oleh seorang wanita terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van di hadapan rumah kami sebelum terbabas dan melanggar bahagian rumah tamu rumah ini.

"Mohd Nasir ketika itu sedang berehat di ruang tamu dan pada awalnya, selepas bunyi kuat pelanggaran tersebut, anak pak cik cuba hendak tengok apa yang berlaku dari tingkap rumah, namun belum sempat tengok kereta tersebut sudah menghentam rumah ini," katanya.

Keadaan rumah Hamzah sewaktu dilanggar kereta sehingga anak bongsunya meninggal dunia.
Keadaan rumah Hamzah sewaktu dilanggar kereta sehingga anak bongsunya meninggal dunia.

Dia ditemui semasa menerima lawatan Ketua Umno Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday di rumahnya di Kampung Paya, di sini, semalam.

Menurutnya, akibat pelanggaran kuat tersebut, Mohd Nasir yang tidak sempat mengelak dihempap tembok batu dan mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan dan tercampak beberapa meter di ruang tamu rumahnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia dan isterinya, Sumini Abdul Manan, 68, yang sedang makan juga turut terkejut akibat kejadian berkenaan sebelum melihat anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak sedarkan diri sebelum meminta bantuan orang ramai untuk menghubungi ambulans.

"Selepas empat hari mendapatkan rawatan di hospital, Mohd Nasir dibenarkan balik dan beberapa hari kemudian, dia dimasukkan balik ke hospital kira-kira seminggu sebelum meninggal dunia kerana kecederaan dalaman di bahagian kepala dan bahagian badan.

"Sebagai orang Islam, pak cik dan isteri reda apa yang berlaku, namun apa yang kami kesalkan, keluarga wanita yang melanggar tembok rumah kami sehingga Mohd Nasir meninggal hanya datang pada hari kejadian sahaja dan tidak bertanya khabar walaupun anak pak cik kini dah tiada," katanya.

Menurutnya, Mohd Nasir yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan di bandar Kluang juga turut meninggalkan seorang balu, Salasiah Abdul Rahim, 34, dan tiga anak berumur di antara enam hingga sembilan tahun.

Sementara itu, Md Jais berkata, pihaknya telah menyumbangkan bahan-bahan binaan bernilai kira-kira RM6,000 bagi membantu pasangan warga emas ini membaiki kerosakan yang berlaku keatas rumah itu termasuk menambahbaik sistem pendawaian elektrik.

"Ini merupakan lawatan kali kedua saya ke rumah ini, dan lawatan kali pertama adalah selepas kejadian dan melalui lawatan pertama itu, kami (UMNO Bahagian Kluang) bersetuju untuk membaiki dinding rumah pasangan warga emas.

"Kerja-kerja baik pulih akan dilakukan oleh sukarelawan Pertubuhan Prihatin Kluang dan saya jangkakan kerja-kerja ini akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu dan saya berharap ini dapat membantu meringankan beban yang dilalui keluarga ini," katanya.