X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Anwar tolak sebahagian kemudahan bertaraf menteri

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim -Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak sebahagian daripada kemudahan bertaraf menteri yang diberikan terhadap beliau termasuk bayaran gaji bulanan berjumlah RM14,907.20 dan akan menyalurkan semua dana tersebut untuk tabung rakyat miskin.

Anwar berkata, kemudahan itu sebahagian daripada kemudahan penuh yang diberikan kerajaan kepada seorang menteri membabitkan bayaran gaji bulanan, elaun keraian RM12,320.00 sebulan, bayaran khas RM1,500 sebulan, elaun rumah RM4,000 sebulan dan elaun selenggara rumah RM833 sebulan.

Menurutnya, elaun pakaian panas (sekali dalam tiga tahun) pula sebanyak RM6,000, elaun pakaian upacara rasmi (sekali dalam tiga tahun) RM1,500, elaun bayaran pakaian ‘black tie’ (sekali dalam tiga tahun) RM1,500 dan sebuah kereta rasmi serta penggunaan kenderaan peribadi untuk tugas rasmi.

Beliau mengucapkan terima kasih atas kesediaan serta pengiktirafan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob dan kerajaan kerana bersetuju menambahbaik taraf Parlimen dan fungsi Ketua Pembangkang seperti yang selayaknya dalam mana-mana negara demokratik di dunia.

"Perdana Menteri juga bersetuju memberi kemudahan untuk sebuah pejabat bagi Ketua Pembangkang dan beberapa kemudahan lain. Ini termasuk staf bagi membantu urusan kerja dan pejabat.

"Namun, saya tidak bersetuju dengan butiran-butiran (sebahagian kemudahan yang diberikan sepertimana disebut dalam surat tawaran kepada saya yang diutus Perdana Menteri," katanya menerusi kenyataan pada malam Sabtu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan, beberapa lagi kemudahan lain yang setaraf menteri juga tidak dapat diterima oleh beliau sama sekali.

"Saya juga telah tegaskan pada pihak Parlimen yang menyediakan pejabat saya untuk tidak membuat sebarang pengubahsuaian dan diberi peruntukan tambahan.

"Ingin ditegaskan bahawa pengiktirafan kepada pejabat Ketua Pembangkang ini tidak bermaksud kita akan mendukung apa sahaja dasar kerajaan tanpa soal," katanya.

Anwar memberitahu, seperti yang dinyatakan Perdana Menteri dalam surat kepada beliau itu, pengiktirafan yang diterima itu tidak menjejaskan peranan Ketua Pembangkang.

"Saya akan tetap menjalankan tugas seperti sediakala. Aspek semak imbang akan terus diperhebat bagi memastikan negara ini terus di landasan demokrasi," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!