Ismail Sabri lawat adik-beradik yatim piatu akibat Covid-19

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tersentuh hati dengan nasib lima beradik di Kota Perdana, Seri Kembangan yang bergelar yatim piatu sekelip mata akibat Covid-19.

Pandemik itu mengakibatkan Muhammad Hadhrami Mohd Nasir, 11; Husna Humaira, 9; Muhammad Harraz, 7; Muhammad Hawwas, 6 dan Hannan Humaira, 3, kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka.

Ismail Sabri berkata, beliau berpeluang menziarahi lima beradik itu di kediaman mereka pada Sabtu selepas menghadiri program walkabout Perumahan Awam Seri Perak di Kuala Lumpur.

"Kelima-lima mereka kini dijaga oleh datuk, nenek serta bapa dan ibu saudara secara bergilir untuk mencurah kasih sayang kepada mereka.

"Betapa besar dugaan yang dilalui oleh Hadhrami dan adik-adiknya pada usia yang amat muda. Hanya Allah SWT yang mengetahui," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Berikutan itu, Ahli Parlimen Bera itu mengucapkan terima kasih kepada seluruh ahli keluarga, kementerian, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta serta masyarakat yang membantu lima beradik terbabit.

"Semoga dengan usaha murni ini dapat membantu Hadhrami dan adik-adiknya dengan semangat Keluarga Malaysia.

"Saya akan terus beri perhatian kepada Keluarga Malaysia terutama dalam kes seumpama ini demi kelangsungan hidup terutama dari aspek pendidikan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bapa saudara lima beradik berkenaan, Mohd Ariff Hafizan Abdul Razak, 36, berkata, dia sekeluarga sudah tidak risau lagi memikirkan tentang masa depan Hadhrami dan empat adiknya terutama berkaitan pendidikan mereka kerana Perdana Menteri menyatakan sokongan bahawa kerajaan akan memberi bantuan yang diperlukan.

"Alhamdulillah, terima ziarah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ziarah pada jam 12 tengah hari tadi. Sangat baik dan merendah diri orangnya. Kita bertuah kerana memiliki beliau sebagai Perdana Menteri.

"Banyak yang Perdana Menteri maklumkan untuk bantu anak-anak syurga ini seperti bantuan pendidikan, bantuan bulanan untuk datuk nenek dan sebagainya. Syukur. Allah hadirkan orang-orang hebat untuk bantu anak-anak syurga ni," katanya menerusi catatan di Facebook.

Media sebelum ini melaporkan kisah pilu lima beradik yatim piatu itu selepas ibu mereka, Ida Haryanie, 38, meninggal dunia pada 7 Oktober lalu.

Lebih menyayat hati, bapa mereka, Mohd Nasir Tahal, 46, meninggal dunia pada 11 Ogos lalu semasa kedua-duanya menerima rawatan di Hospital Putrajaya selepas dijangkiti Covid-19.