4.27 juta kenderaan banjiri lebuh raya seluruh negara

Aliran trafik di lebuh raya seluruh negara mencatatkan peningkatan jumlah kenderaan mencecah 4.27 juta kenderaan pada Jumaat.
Aliran trafik di lebuh raya seluruh negara mencatatkan peningkatan jumlah kenderaan mencecah 4.27 juta kenderaan pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aliran trafik di lebuh raya seluruh negara mencatatkan peningkatan jumlah kenderaan mencecah 4.27 juta kenderaan pada Jumaat.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, angka tersebut hampir menyamai trend aliran trafik sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar 4.5 juta kenderaan sehari.

"Jumlah kenderaan di tiga lebuh raya utama pada Jumaat adalah sebanyak 1.2 juta kenderaan di Lebuh Raya Utara Selatan, 143,024 kenderaan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan 53,159 kenderaan di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1.

"Aliran trafik yang tinggi dicatatkan di Sektor Timur namun begitu tiada kesesakan luar biasa dikesan dan aliran adalah lancar," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Nadzri berkata, jumlah kenderaan di setiap plaza tol pada Jumaat mencatatkan peningkatan dibandingkan pada 8 Oktober sebelum kebenaran rentas negeri dibenarkan.

"Plaza Tol Jalan Duta mencatatkan peningkatan 25 peratus daripada 48,775 kepada 60,831 kenderaan, Plaza Tol Sungai Besi meningkat 30 peratus dari 31,231 kepada 40,721 kenderaan dan Plaza Tol Skudai mencatatkan 41 peratus peningkatan daripada 14,645 kepada 20,578 buah kenderaan," katanya.

Beliau memberitahu, jumlah kenderaan di Plaza Tol Bentong, Karak dan Gombak turut mencatatkan peningkatan jumlah kenderaan.

Tambah beliau, pihaknya akan membuat pemantauan di semua laluan utama termasuk jalan Persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran iaitu peningkatan aliran trafik turut dikesan.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan pemantauan dan Pematuhan SOP Op Covid-19 dijalankan oleh semua petugas JSPT di lapangan.

"Koordinasi bersama kontinjen dan daerah bagi menguraikan aliran dibuat bagi menentukan tiada sebarang kesesakan luar biasa," katanya.