Pantai Batu Ferringhi kembali meriah

Keadaan pantai Batu Ferringhi yang kembali meriah dengan kehadiran orang ramai.
Keadaan pantai Batu Ferringhi yang kembali meriah dengan kehadiran orang ramai.
A
A
A

GEORGETOWN - Pantai Batu Ferringhi yang sebelum ini sepi kembali rancak dengan kehadiran orang ramai yang tidak melepaskan peluang berkelah selepas kerajaan membenarkan rentas negeri bermula Isnin lalu.

Tinjauan di lokasi peranginan yang sering menjadi tumpuan pengunjung sama ada pada hujung minggu mahupun cuti umum mendapati, lokasi tersebut dipenuhi orang ramai seawal jam 10 pagi.

Walaupun keadaan cuaca tidak begitu baik berikutan mendung dan hujan, namun ia tidak menghalang orang ramai berkelah di tepi pantai malah tidak kurang ada yang berkhemah sambil beriadah bersama keluarga.

Malah, ada yang mengambil peluang mengisi masa dengan aktiviti sukan air seperti jet ski dan banana boat yang di kawasan pantai berkenaan.

Seorang pengunjung, Mohd Roslan Hussain, 45, daripada Ipoh, Perak berkata, rombongan keluarga mereka tiba di negeri ini seawal jam 8 pagi itu untuk melepaskan rindu bercuti bersama di Pulau Pinang.

Menurut bapa kepada empat orang anak itu, sepanjang perintah kawalan pergerakan mereka tidak ke mana-mana dan sangat menantikan peluang untuk bercuti bersama ahli keluarga yang lain.

Siti Saleha bersama rakan-rakannya tidak melepaskan peluang menaiki 'banana boat' yang disediakan di Batu Ferringhi.
Siti Saleha bersama rakan-rakannya tidak melepaskan peluang menaiki 'banana boat' yang disediakan di Batu Ferringhi.

"Walaupun teruja kami tetap akan pastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dan tidak mahu percutian ini akan berakhir dengan sesuatu yang tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

"Seronok bila dapat lihat anak-anak gembira, selama ini mereka hanya lakukan aktiviti di dalam rumah sahaja dan hari ini kami biarkan mereka menikmati kegembiraan mandi-manda di pantai,"katanya.

Turut berkongsi pandangan sama, Siti Saleha Abdul Manaf, 29, yang datang bersama rakan-rakannya dari Alor Setar, Kedah sejak Jumaat.

Menurut kerani di salah sebuah syarikat swasta itu, mereka telah menyusun pelbagai aktiviti percutian selama tiga hari dua malam sepanjang bercuti di Pulau Pinang.

"Selain bersantai di Pantai Batu Ferringhi , kami juga akan terjah beberapa restoran nasi kandar terkenal di sini selain akan berkunjung di kawasan bersejarah di sekitar Georgetown.

"Memang seronok tapi banyak juga cabaran yang perlu kami tempuhi antaranya kesesakan trafik dan terpaksa beratur panjang ketika di restoran berikutan ramai pelanggan yang berkunjung pada satu-satu masa," katanya.