Sesi libat urus pengoperasian sekolah di Melaka

Radzi ketika mengadakan sesi libat urus berkaitan pengoperasian sekolah bersama guru dan wakil PIBG di Melaka pada Sabtu.
Radzi ketika mengadakan sesi libat urus berkaitan pengoperasian sekolah bersama guru dan wakil PIBG di Melaka pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melakukan sesi libat urus (SLU) berkaitan pengoperasi sekolah bersama kakitangan dan wakil ibu bapa bagi sekolah di seluruh Melaka pada Sabtu.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, program tersebut yang bermula sejak awal pagi hingga petang itu diadakan dalam empat sesi melibatkan guru sekolah rendah dan menengah serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Katanya, sesi itu menjurus kepada penjelasan dan perkongsian pandangan mengenai operasi sekolah terutamanya dalam aspek keselamatan serta kesihatan semasa dalam kelas, waktu ketibaaan dan penyuraian selepas tamat waktu persekolahan.

Beliau berkata, turut ditekankan pada sesi tersebut adalah cara- cara untuk memastikan pengudaraan yang baik sepanjang sesi persekolahan secara bersemuka.

“Ini amat penting bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, khususnya yang melibatkan varian delta. Saya juga berkongsi cadangan pendekatan yang akan dilaksanakan melalui Konsep #sekolahKuSEJAHTERA untuk memupuk dan membudayakan amalan dan nilai murni.

“Usaha ini akan dapat mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif serta membangunkan potensi murid dari peringkat awal lagi.

“Terima kasih kepada cikgu dan ibu bapa yang terlibat dalam SLU bersama kami pagi ini. Saya amat hargai segala input, cadangan dan saranan yang dikongsikan. Kami akan susuli sebaiknya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Pada Selasa, Radzi memaklumkan bahawa kira-kira 300,000 murid telah hadir bagi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka pada minggu pertama pembukaan sekolah yang bermula 3 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berkata, pengoperasian sekolah secara bersemuka itu dilihat dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.