X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Kerajaan teliti model baharu untuk golongan muda miliki rumah

Reezal (dua dari kiri) meneliti gambar projek Projek Rumah Mampu Milik PR1MA – Ideal Residency di Bukit Gelugor.
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meneliti model terbaharu bagi membolehkan golongan muda untuk memiliki kediaman sendiri.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, antara mekanisme dirancang termasuk mempermudahkan kaedah permulaan seperti pembayaran deposit untuk golongan terbabit membeli kediaman mampu milik berharga antara RM250,000 hingga RM300,000.

Menurutnya, usaha itu juga merupakan langkah meningkatkan pemilikan harta atau kekayaan dalam golongan muda memandangkan nilai rumah yang dibeli ketika usia muda akan meningkat berkali ganda.

“Dari segi pinjaman juga jika mereka dapat membeli rumah pada usia muda, maka bayaran bulanan menjadi rendah kerana tempoh pembayaran lebih panjang selain selari dengan kenaikan gaji.

“Jika pada usia 25 tahun mereka sudah dapat membeli rumah, dalam tempoh 10 tahun nilai rumah itu boleh meningkat sekali ganda dan ini adalah antara cara meningkatkan pemilikan harta dan kekayaan generasi muda,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan surat tawaran kepada 20 bakal pembeli Projek Rumah Mampu Milik PR1MA – Ideal Residency di Bukit Gelugor, di sini pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh.

Dalam pada itu, Reezal Merican menggalakkan kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bekerjasama dengan pihak pemaju dalam menawarkan rumah mampu milik kepada rakyat.

Beliau berkata, kerjasama itu misalnya dengan penawaran subsidi tertentu kepada pihak pemaju dapat mengurangkan harga rumah mampu milik sekali gus membolehkan lebih banyak kediaman dapat dibina.

"Perlu ada kerjasama menang-menang antara pemaju hartanah dan rakyat supaya kepentingan kedua-dua pihak dapat dilindungi dan dalam masa sama kerajaan juga tidak mahu wujud situasi berlaku lambakan rumah tidak terjual di pasaran.

“Kami juga sudah memberi cadangan kepada Bank Negara Malaysia mempermudahkan pembelian rumah ini dan berharap ada insentif tertentu diumumkan berhubung perkara ini dalam Belanjawan 2022 nanti,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!