Pelanggan tak lengkap vaksin, pemilik restoran dikompaun RM22,000

Anggota polis melakukan pemeriksaan di sebuah restoran di Jalan Magazine, pada malam Jumaat.
Anggota polis melakukan pemeriksaan di sebuah restoran di Jalan Magazine, pada malam Jumaat.
A
A
A

GEORGE TOWN - Enam pelanggan dan seorang pemilik sebuah restoran di Jalan Magazine di sini, dikompaun keseluruhan RM22,000 selepas didapati membenarkan pelanggan yang belum lengkap dua dos vaksin untuk dine-in.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua mereka yang terdiri daripada dua wanita dan lima lelaki itu dikompaun sepasukan polis dalam Ops Pemantauan dan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara pada jam 10.50 malam Jumaat.

Menurutnya, pemeriksaan snap check melalui aplikasi Mysejahtera ke atas pelanggan di restoran berkenaan mendapati enam daripada mereka yang belum lengkap dua dos vaksin sedang dine-in.

“Berikutan itu enam pelanggan terbabit masing-masing dikompaun RM2,000 manakala pemilik premis pula dikompaun RM10,000 kerana membenarkan pelanggan yang belum lengkap divaksinasi dine-in.

“Secara keseluruhan kesemua tujuh warga tempatan berusia lingkungan 23 hingga 37 tahun itu dikompaun RM22,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Soffian menasihatkan orang ramai dan pemilik premis untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

“Gunakanlah segala kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan dengan bijak serta bertanggungjawab demi sama-sama memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan: