Bangga aksi cemerlang pemain

Aksi Tze Yong boleh dibanggakan. - Foto Badminton Photo
Aksi Tze Yong boleh dibanggakan. - Foto Badminton Photo
A
A
A

BIARPUN perjuangan skuad Piala Thomas negara tersekat di suku akhir apabila tewas 0-3 kepada Indonesia pada Jumaat, namun aksi cemerlang pemain muda negara pada kejohanan berperstij itu ternyata masih boleh dibanggakan.

Dengan menampilkan skuad muda negara yang rata-ratanya baru kali pertama beraksi di pentas Piala Thomas kecuali gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, aksi yang dipersembahkan skuad muda negara turut memberikan petanda bahawa generasi pelapis skuad badminton negara sedang proses pembentukan.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choon Hann, pihaknya berbangga dengan aksi yang dipersembahkan oleh skuad muda negara kali ini dan berharap aksi sedemikian akan berterusan pada kejohanan-kejohanan akan datang.

Malah katanya, BAM juga akan terus memberikan peluang kepada pemain-pemain muda lain untuk beraksi di kejohanan-kejohanan besar dalam usaha memberikan pendedahan dan pengalaman kepada mereka.

“Secara keseluruhannya, kita bangga dengan pemain-pemain muda kita dan pendekatan yang dipamerkan khususnya oleh pemain-pemain muda seperti Leong Jun Hou, Ng Tze Yong membuktikan program kita sediakan berada di landasan yang betul.

“Mereka ini, biarpun tidak mempunyai rankint di peringkat Persekutuan Badminton Dunia (BWF), berikutan kekurangan kejohanan yang diadakan sebelum ini selain menjalani latihan yang agak terhad, namun masih mampu memberikan aksi yang terbaik.

“Oleh itu, kita melihat perkara ini sebagai petanda yang baik untuk kesemua pemain-pemain ini untuk terus maju ke hadapan terutamanya dalam beberapa kejohanan yang akan diikuti selepas berakhirnya saingan Piala Thomas kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Zii Jia. - Foto Badminton Photo
Zii Jia. - Foto Badminton Photo

Artikel Berkaitan:

Skuad Piala Thomas negara bermula cemerlang pada aksi Kumpulan D apabila menewaskan Kanada, 5-0 pada aksi pembukaan sebelum tewas 1-4 kepada Jepun pada pertemuan kedua bagi menamatkan saingan peringkat kumpulan selaku naib juara bagi menempah pertemuan dengan juara kumpulan A, Indonesia di suku akhir.

Saingan suku akhir pada Jumaat menyaksikan skuad muda negara tetap memberikan tentangan sengit sebelum akhirnya akur dengan kekalahan 0-3 kepada Indonesia bagi mengakhiri kempen Piala Thomas & Uber kali ini.

Pada aksi suku akhir, perseorangna utama negara, Lee Zii Jia tewas 15-21, 17-21 kepada Anthony Ginting, diikuti gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo 17-21, 21-16, 15-21 dan Ng Tze Yong tewas 21-14, 19-21, 16-21 kepada Jonatan Christie.

Untuk rekod, skuad Piala Uber negara tidak berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan apabila tewas 1-4 kepada Denmark, 0-5 kepada China dan 1-4 kepada Kanada.

Sementara itu Choong Hann berkata, selepas Piala Thomas & Uber kesemua pemain akan menyertai beberapa kejohanan lain dan malah ketika ini skuad remaja negara juga sedang mengharungi kejohanan Antarabangsa Yonex Jerman Ruhr bawah 19 tahun (b-19).

Malah katanya, sepanjang 2022 kelak, skuad negara juga perlu bersedia bagi mengharungi Sukan Asia di Hangzhou dan juga Sukan Komanwel, Birmingham.

“Untuk 2022, memang ada banyak kejohanan yang boleh disertai oleh pemain-pemain badminton kita dan di sinilah kita akan menilai sejauh mana peningkatan mereka.

“Cuma apa yang kita inginkan adalah kesemua mereka mempunyai keazaman serta kemahuan untuk terus maju ke hadapan bagi mencatatkan lebih banyak kejayaan, bukan pada satu-satu pertandingan sahaja.

“Kita mahu mereka terus mencuba, tunjukkan semangat serta membuktikan kemampuan masing-masing dengan keputusan yang memberangsangkan,” katanya.