8,000 graduan terima manfaat program Penjana KPT-CAP IPTS

Noraini (enam kanan) bergambar kenangan bersama Naib Canselor dan Ketua Eksekutif IPTS yang menerima surat tawaran program Penjana KPT-CAP IPTS di kampus Kolej UNITI Port Dickson. - Foto Kolej UNITI
Noraini (enam kanan) bergambar kenangan bersama Naib Canselor dan Ketua Eksekutif IPTS yang menerima surat tawaran program Penjana KPT-CAP IPTS di kampus Kolej UNITI Port Dickson. - Foto Kolej UNITI
A
A
A

PORT DICKSON- Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 8,000 graduan bakal menerima manfaat program Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (KPT-CAP) Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Penjana KPT-CAP IPTS merupakan satu lagi komitmen kementerian terbabit untuk membantu meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan graduan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Jelasnya, inisiatif program yang dirancang di bawah Penjana KPT-CAP IPTS merupakan manifestasi komitmen KPT dalam menzahirkan graduan yang komited, berkualiti, mampan, bercirikan keusahawanan dan mampu berdaya saing di semua peringkat.

"Daripada RM35 bilion yang diperuntukkan di bawah Penjana, KPT diamanahkan sebanyak RM50 juta untuk merealisasikan inisiatif Penjana KPT-CAP IPTS dengan dana RM13.3 juta telah diluluskan setakat ini.

"Sehingga kini, sebanyak 83 program telah disusun melibatkan sinergi daripada 16 buah IPTS dengan penglibatan seramai 2,559 orang graduan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Penjana KPT-CAP IPTS di kampus Kolej UNITI Port Dickson, Tanjung Agas di sini yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Kementerian Pengajian Tinggi pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusof, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar dan Ketua Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md. Isa.

Antara IPTS yang terlibat dalam inisiatif Penjana KPT-CAP IPTS bagi fasa 1 dan 2 adalah Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional, Kolej Universiti Segi, City University, Kolej UNITI, Universiti Cyberjaya, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, program Penjana KPT-CAP IPTS merupakan satu inisiatif murni yang wajar dipuji dan diberi penghargaan kerana ia membantu meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan dalam kalangan graduan.

"Saya berharap KPT dan Kementerian Kewangan dapat meneruskan inisiatif dan program Penjana KPT-CAP IPTS ini dengan penambahbaikan bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun akan datang bagi memberi peluang lebih ramai graduan menganggur yang terkesan akibat pandemik Covid-19 menyertainya," katanya.