Kementerian rangka skim bantu pekebun kecil kenaf

Zuraida meninjau pemprosesan biji benih kenaf ketika melawat Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf di Bandar Darulaman pada Sabtu.
Zuraida meninjau pemprosesan biji benih kenaf ketika melawat Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf di Bandar Darulaman pada Sabtu.
A
A
A

JITRA – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang merangka skim untuk membantu pekebun-pekebun kecil dalam industri kenaf secara berkelompok berikutan perusahaan ini berpotensi besar untuk dimajukan di dalam negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, skim berkenaan diyakini mampu meningkatkan penyertaan pengusaha dalam industri ini disebabkan kesedaran mengenai potensi kenaf masih rendah.

Menurutnya, penggunaan kenaf juga masih kurang di dalam negara berikutan bekalan untuk pasaran domestik masih rendah, menyebabkan KPPK mengambil inisiatif menggalakkan lebih ramai pengusaha menceburi tanaman berkenaan.

“Kita akan pastikan bantuan sewajarnya diberikan untuk industri ini merangkumi penggunaan jentera tuaian, bantuan penanaman semula atau baharu, benih serta baja.

“Terdapat pekebun kecil yang tidak mampu membeli mesin tuaian, selain permintaan untuk tambah mesin tuaian, kita akan pertimbangkan permohonan agar dapat melancarkan proses.

"Kemungkinan kita boleh adakan skim meminjamkan jentera secara bergilir untuk tuaian sekiranya diusahakan secara kelompok,” katanya ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf di Bandar Darulaman, pada Sabtu.

Zuraida berkata, terdapat seribu pekebun kecil di seluruh negara mengusahakan 2,000 hektar tanaman kenaf, khususnya di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan. Di Kedah, terdapat 55 peladang kecil dan empat pengusaha berskala besar.

“Kita perlu sebarkan potensi kenaf secara lebih meluas khususnya kepada penduduk kampung. Mereka digalakkan sertai program KPPK walaupun memiliki sehektar tanah kerana kita akan sediakan fiber kenaf yang boleh diambil dari Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan keringkan di rumah serta jual semula kepada LKTN,” katanya.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, sebanyak 2,500 hektar ladang kenaf komersial akan dibangunkan di Perlis, Kedah dan Perak di bawah inisiatif pembangunan Lembah Kenaf Koridor Utara (NCKV).

Artikel Berkaitan:

“Pembangunan wilayah ini sebagai hub pengeluaran kenaf dengan unjuran pelaburan swasta RM100 juta bagi tempoh 2021-2030.

“Pembangunan pelbagai industri hiliran seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS), pulpa untuk pembungkusan mesra alam, biokomposit dan makanan ternakan diwujudkan bagi menyokong limpahan bahan mentah kenaf,” katanya lagi.

Menurutnya, dalam memastikan pengeluaran kenaf berkualiti tinggi, LKTN membangunkan dua pusat pemprosesan biji benih kenaf di Beseri, Perlis dan Jitra di Kedah.

“Pusat benih di Jitra mempunyai kapasiti pemprosesan sehingga empat tan sehari dan dapat menyokong pembangunan tanaman bagi pengeluaran benih sehingga 1,000 hektar untuk Kedah dan Perlis. Diharap inisiatif ini dapat membantu perkembangan industri kenaf negara mahupun peringkat antarabangsa,” katanya.

Zuraida berkata, perusahaan kenaf berpotensi dibangunkan dalam pelbagai industri antaranya, makanan seperti penghasilan roti, cendawan, serunding; fiber untuk tilam; batang kenaf untuk pembuatan membina rumah dan jalan raya serta pelbagai lagi.

“Semua potensi itu dapat mengembangkan aliran ekonomi negara, malah industri ini mampu dibangunkan pengusaha kecil dengan adanya skim yang ditawarkan,” katanya.

Sempena lawatan kerja ke Perlis dan Kedah itu, satu memorandum persefahaman (MoU) antara Kenaf Venture Global Sdn Bhd (KVG) dan Sirim Berhad dimeterai bagi membangunkan kilang perintis kenaf di Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) di Perlis.

KVG antara syarikat yang giat dalam pembangunan ladang kenaf seluas 1,000 hektar di Perlis dengan sasaran pelaburan RM50 juta sehingga tahun 2025.

Turut diadakan penyerahan dokumen perjanjian kepada pengusaha ladang kluster biji benih kenaf di Kedah melibatkan keluasan 150 hektar selama lima tahun, dengan unjuran 45,000 kilogram pengeluaran biji benih dan sasaran pendapatan RM1.13 juta setahun.