Cari formula tingkatkan harga getah sekerap RM3.50 sekilogram

Mahdzir (dua kiri) menyerahkan sumbangan zakat korporat Yayasan Risda kepada wakil Masjid Kampung Tengah, Kuala Nerang pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Risda Kedah, pada Sabtu.
Mahdzir (dua kiri) menyerahkan sumbangan zakat korporat Yayasan Risda kepada wakil Masjid Kampung Tengah, Kuala Nerang pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Risda Kedah, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA NERANG - Kerajaan perlu mencari formula atau kaedah sesuai untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram dalam usaha membantu pekebun kecil getah meningkatkan pendapatan mereka.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya sedar sukar untuk meningkatkan harga lantai sekerap yang kini ditetapkan pada kadar RM2.50 sekilogram.

Menurutnya, langkah tersebut wajar difikirkan bagi memastikan pekebun kecil getah tidak beralih kepada tanaman lain dalam usaha memastikan bekalan getah negara terjamin.

"Harga getah perlu ada pada kadar yang boleh bertahan untuk masyarakat luar bandar. Memang kita tahu sukar untuk tingkatkan harga tapi kita kena ada formula yang boleh dicari untuk tujuan ini.

"Perkara ini bukan sahaja dilaung-laungkan oleh pengusaha tapi kerajaan sendiri kena fikir macam mana cara dan kaedah sesuai untuk meningkatkan kadar harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram," katanya ketika sidang akhbar di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, dekat sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pekebun Kecil Makmur Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Kedah.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim dan Pengerusi Risda, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, Risda menyediakan pelbagai skim untuk membantu meningkatkan ekonomi pekebun kecil getah termasuk ahli keluarga mereka dalam usaha memastikan pekebun kecil kekal dengan tanaman getah.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menasihatkan pekebun kecil getah agar tidak terikut-ikut dengan kadar harga tanaman lain di peringkat global kerana ada harga tanaman tersebut tidak berkekalan.

Pada Jumaat, media melaporkan kerajaan diminta mempertimbangkan menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram mulai Januari tahun 2022 untuk membantu lebih ramai penoreh getah keluar daripada garis kemiskinan.

Pengerusi Risda, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, harga lantai getah sekerap ketika ini RM2.50 sekilogram jauh lebih rendah berbanding kelapa sawit yang mencecah RM1,100 setiap tan.

Perkara tersebut telah mewujudkan jurang yang besar antara pengusaha kebun getah dan kelapa sawit.